Mekanik dijel 12 bulan, denda RM2,000 guna kad debit curi
KUALA LUMPUR - Seorang bapa anak satu terpaksa menyambut Deepavali di penjara selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 terhadapnya kerana menggunakan kad debit curi bagi membeli rokok dan minuman keras.
Hakim, Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Rajkumar, 33, selepas dia mengaku bersalah menggunakan kad debit milik ejen pembiayaan pinjaman, Lee Chin Guan, 34, untuk membeli lima kotak rokok dan pelbagai jenis minuman keras yang kesemuanya berjumlah RM373.40.
Mekanik itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di KK Mart, Taman Kok Lian, Jalan Kuching di sini, pada 6.57 pagi, 9 Julai lepas mengikut Seksyen 413 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Rajkumar juga akan dipenjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan memohon hukuman setimpal berbentuk pemenjaraan bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.
“Isteri saya orang kurang upaya (OKU) mempunyai seorang anak berusia tiga tahun, isteri tidak bekerja hanya bergantung bantuan kerajaan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!