Cubaan pulang ke negara asal gagal
PADANG BESAR - Cubaan tiga lelaki warga Myanmar bersembunyi di dalam bonet sebuah kereta untuk pulang ke negara asal gagal apabila berjaya dikesan pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Perlis, Basri Othman berkata, dalam kejadian tersebut, kereta terbabit dipandu lelaki tempatan melalui laluan pemeriksaan Imigresen pada jam 6.45 pagi hari ini.
Menurutnya, pegawai bertugas mendapati tindak-tanduk pemandu kereta jenis Proton Wira berkenaan agak mencurigakan menyebabkan pemeriksaan dijalankan.
"Kita mengarahkan pemandu berkenaan membuka bonet dan dia akur, namun bertindak melarikan diri ke arah Thailand," katanya ketika sidang media di Pos Imigresen Padang Besar, hari ini.
Menurut Basri, susulan tindakan lelaki terbabit yang meninggalkan kereta di pos pemeriksaan Imigresen, pihaknya turut menjumpai tiga lelaki berusia 19 hingga 47 tahun di dalam bonet dan dipercayai menggunakan khidmat sindiket untuk pulang ke negara asal.
"Hasil pemeriksaan mendapati tiga lelaki berkenaan datang dari Pulau Pinang dan membayar kepada sindiket RM300 seorang dan meneruskan perjalanan ke Padang Besar bagi tujuan pembolosan ke Thailand dengan bayaran RM800 seorang," katanya.
Basri berkata, ketiga-tiganya juga yang bekerja di Pulau Pinang turut menggunakan pas lawatan (kerja sementara) yang palsu.
"Mereka dipercayai tinggal di Pulau Pinang sejak setahun yang lalu dan masuk menggunakan laluan udara," katanya.
Basri berkata, pihaknya turut merampas tiga pas sempadan milik rakyat tempatan yang mungkin pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!