Bayi 11 bulan ditemui tertiarap tak sedarkan diri di taska

Halimaton Shaadiah (kanan) menziarahi ibu bapa mangsa hari ini. Gambar kecil: Nor Dina Kholid
Halimaton Shaadiah (kanan) menziarahi ibu bapa mangsa hari ini. Gambar kecil: Nor Dina Kholid
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Seorang bayi berusia 11 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Sri Rotan dekat sini tengah hari Khamis lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, bayi tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Jalan Putra oleh ibunya, Halimatussaadiah Mohamed, 40, selepas dimaklumkan pengasuhnya.

Menurutnya, setelah sampai ke Klinik Kesihatan, pegawai perubatan cuba melakukan bantuan pernafasan tetapi tidak berjaya dan bayi berkenaan disahkan meninggal dunia.

"Sebelum kejadian, pengasuh keluar dari bilik bayi untuk menyapu sampah di dalam kawasan taska kira-kira jam 11.35 pagi selepas bayi tersebut, Nur Dina Kholid tidur.

"Pengasuh kemudiannya kembali masuk ke bilik bayi pada jam lebih kurang jam 12.10 minit tengah hari dan cuba mengalihkan bayi itu yang tidur dalam keadaan tertiarap tetapi badannya sudah lembik, dan sejuk serta kebiruan," katanya selepas melawat keluarga bayi tersebut, dekat sini semalam.

Halimaton berharap keluarga bayi tersebut reda dengan pemergian anak kelima mereka itu.

Menurutnya, beliau dimaklumkan bayi tersebut demam sejak 3 hari lepas termasuk pada hari kejadian namun ibu bapa bayi itu terpaksa juga menghantar anak mereka ke taska atas tuntutan kerja.

"Mangsa adalah satu-satunya anak perempuan dari lima adik beradiknya. Saya harap keluarga mangsa tabah dengan ujian ini walaupun sedar ia sukar untuk diterima.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu dirakam oleh rakaman CCTV dan mendapati bayi itu telah bangun dan duduk kira-kira jam 11.40 pagi dan keadaannya seolah-olah tidak stabil. Kanak-kanak itu kembali meletakkan kepalanya ke bantal dalam keadaan tertiarap selepas dua minit berada dalam keadaan duduk,"katanya.

Tambahnya, taska tersebut beroperasi dengan Perakuan Pendaftaran Taska yang sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tempoh sah perakuan bermula 15 Mei 2019 sehingga 14 Mei 2024 serta nisbah kanak-kanak dengan pengasuh adalah cukup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian tersebut dan mendapati tiada unsur jenayah setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!