Perang perdagangan kucar-kacirkan ekonomi dunia: Dr Mahathir
BAKU - Meskipun ancaman perang masih menghantui walaupun Perang Dingin telah pun berakhir, pertikaian perdagangan yang kian pantas menjadi perang perdagangan telah mengkucar-kacirkan ekonomi dunia.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketidakpastian yang berpunca daripadanya telah menyebabkan negara-negara tidak dapat merancang dan membangunkan negara mereka, memiskin rakyat mereka dan menyebabkan kecelaruan sosial yang berpotensi mencetuskan bantahan awam, pemberontakan dan konflik.
"Perang perdagangan terbukti mampu membawa kerosakan dan kemusnahan dan menggunakan perdagangan sebagai senjata pada hari ini adalah satu cara berbahaya yang boleh memusnahkan negara,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali Ke-18 (NAM), di sini hari ini.
Dr Mahathir yang kali terakhir berucap di Sidang Kemuncak NAM 16 tahun lepas semasa Malaysia menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur berkata, pertikaian perdagangan yang semakin merosakkan dan berlarutan ini telah menyebabkan Malaysia dan negara-negara lain tertanya-tanya bilakah ia akan berakhir dan apakah kesan kebinasaannya.
Perang perdagangan antara ekonomi-ekonomi terbesar dunia, katanya, boleh menyebabkan perpecahan dalam sistem dagangan dunia.
"Perniagaan perlu merancang dengan lancar dan mengelakkan sebarang gangguan tetapi tarif, serang balas tarif dan halangan lain kepada perdagangan bebas mungkin kini menjadi satu perkara ‘normal baharu’,” katanya.
Merujuk kepada perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China, Dr Mahathir berkata, ia mungkin gejala sesuatu yang jauh lebih buruk, persaingan yang semakin meningkat antara dua kuasa terbesar dunia, yang berpanjangan selama-lamanya.
"Malangnya bagi Malaysia, kita terperangkap di tengah-tengah kerana ekonomi negara berkait dengan kedua-dua pasaran itu dan secara fizikalnya, kita juga tersepit antara kedua-duanya disebabkan lokasi geografi," kata Perdana Menteri.
Dalam ucapannya bertajuk 'Upholding the Bandung Principles to Ensure Concerted and Adequate Response to the Challenges of the Contemporary World' (Mendukung Prinsip Bandung bagi Memastikan Tindak Balas Padu dan Mencukupi Dalam Menghadapi Cabaran Dunia Semasa), Dr Mahathir berkata, memulakan perang bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk menyelesaikan pertikaian.
"Pada 2003, saya pernah berkata 'the world lives in fear' (dunia hidup dalam ketakutan). Saya menyebut perkataan itu semasa kenyataan 'you’re either with us or against us' (anda kena sama ada menyokong kami atau menentang kami) menjadi frasa pemikat untuk membuli negara-negara kecil yang aman untuk menyokong dan mewajarkan tindakan ketenteraan terhadap negara lain dengan mendakwa ia adalah ancaman kepada dunia.
"Perkataan itu disebut hanya beberapa minggu sebelum Iraq ditakluk,” kata Dr Mahathir.
Pemimpin tertua di dunia itu berkata, pihak-pihak yang terlibat dalam pertikaian boleh mengambil jalan keluar dengan mengadakan rundingan atau mengemukakan kepada timbang tara oleh pihak-pihak ketiga seperti Mahkamah Dunia dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
"Kita mengatakan ini kerana Malaysia bukan hanya sekadar bercakap semata-mata. Kita melakukannya. Kita menyelesaikan pertikaian dengan negara-negara jiran kita menerusi rundingan dan menerusi Mahkamah Dunia. Ada yang kita menang dan ada yang kita kalah tetapi tiada siapa yang terbunuh,” katanya.
Dr Mahathir juga memberitahu sidang kemuncak tersebut bahawa beliau menyedari pergerakan dianggotai 120 negara yang mencakupi 55 peratus daripada populasi dunia itu telah berubah dan tidak begitu bersatu seperti sebelum ini.
Beliau yang menggesa anggota-anggota agar terus bersatu padu berkata, NAM tidak seharusnya tunduk kepada negara-negara berkuasa dan memberi kepuasan kepada mereka melihat ia berpecah-belah.
"Dalam dunia berbahaya yang kita hidup ketika ini, kita perlu mempertahankan dan memperjuangkan 10 prinsip Persidangan Bandung 1955 tetapi kita perlu melakukannya bersama-sama. Barulah nanti kita boleh terus memulihkan pergerakan ke arah mencapai objektifnya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!