'Mendengar' mampu cegah bunuh diri: Pakar psikiatri

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Menamatkan riwayat hidup atau bahasa ringkasnya membunuh diri sering dikaitkan dengan individu yang menghadapi masalah psikiatri seperti kemurungan serius antaranya akibat gagal menangani pelbagai krisis kehidupan.

Lebih mengecewakan apabila berlaku kes bunuh diri, kebanyakan orang di sekeliling 'pembunuh diri' itu memang menyedari bahawa individu berkenaan sedang dilanda masalah dan tidak mencuba untuk 'mendengar' rintihan hati mereka.

Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu lalu diberitahu, sebanyak 356 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di seluruh negara dari 2014 hingga Jun 2019, dan jumlah itu merupakan angka yang sangat mengejutkan, apatah lagi ia melibatkan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Kedah Medical Centre (KMC), Dr Wan Mohd Rushidi Wan Mahmud berkata, isu bunuh diri kini bukan lagi menjadi kes terpencil sebaliknya masyarakat perlu bercakap dengan lebih terbuka mengenai kesihatan mental dan bunuh diri.

"Didik diri sendiri dan orang lain mengenai punca bunuh diri, serta petanda awal gangguan, rasa simpati kepada mangsa dan belajarlah mendengar dengan lebih baik... cukup dengan hanya mendengar, bukan berleter.

"Kebanyakan orang yang nak bunuh diri ini, mereka sebenarnya nak bercerita, tapi tidak ada yang mahu mendengar, jadi mereka pendam hingga akhirnya tak mampu ditahan lagi, lalu mengambil tindakan bunuh diri," katanya di sini.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, kadang kala ada juga individu yang cuba membunuh diri, tapi sebenarnya mereka tidak berniat mahu mati sebaliknya hanya mahukan perhatian.

"Hari ini dia kelar sikit di perut, kemudian di tangan dan kelakuan ini berterusan beberapa kali. Jika anda terjumpa kes seperti ini tolonglah beri perhatian kerana lama-lama tindakan ini memang akhirnya boleh menyebabkan kematian jika dia tersilap langkah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lebih membimbangkan trend membunuh diri kini bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang dewasa, malah ada juga melibatkan kanak-kanak yang masih di bangku sekolah rendah, yang kebanyakannya tertekan akibat pelajaran.

"Guru-guru kaunseling perlu memainkan peranan, kalau nampak pelajar ni lain macam, bertanya dan dengarlah masalah mereka, kerana tindakan mendengar ini sebenarnya sangat berkesan dan jika nampak macam serius, terus rujuk pelajar bermasalah ini kepada pakar," katanya.

Dr Wan Mohd Rushidi berkata, walaupun individu yang sah diagnosis mempunyai masalah psikiatri oleh pakar sudah selesai menjalani rawatan, ia tidak menjamin bahawa mereka akan pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat.

"Enam bulan pertama selepas selesai menjalani rawatan atau dibenarkan pulang ke rumah (jika dirawat di wad hospital), ia merupakan tempoh paling kritikal, kerana pada masa inilah paling banyak kejadian bunuh diri berlaku.

"Keluarga dan rakan-rakan terdekat perlu memainkan peranan masing-masing, lebih peka dan jangan biarkan pesakit berasa mereka seperti keseorangan, bantulah mereka untuk benar-benar bangkit dan bebas daripada keinginan untuk mati," katanya.

Beliau berkata, untuk membantu mereka yang bermasalah ini bercerita, ruang dan masa yang bersesuaian sangat penting, kerana mereka lebih cenderung mendiamkan diri jika tidak selesa dengan persekitaran mereka.

“Pastikan ada ruang dan masa yang privasi ketika mahu mendengar masalah mereka, cuba bina suasana yang selamat, selesa dan tenang, biar mereka dan kita sahaja yang berbicara tanpa melibatkan pihak orang lain,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!