Hidup ini penuh keajaiban

A
A
A

APABILA disebut perkataan ajaib tentunya ada kaitan dengan sesuatu benda atau perkara yang tidak dijangkau oleh pemikiran kita yang terbatas ini. Hanya yang terkeluar daripada mulut dan terlintas di pemikiran kita adalah ‘ajaib’ dan tiada penerangan yang saintifik boleh menjelaskan situasi berkenaan.

Hal itu telah dipersetujui ramai orang, tidak kira sama ada mereka mempunyai pegangan agama atau tidak serta berpendidikan tinggi atau tidak. Apabila berlaku keajaiban, kesemuanya cukup gembira dan terharu dengan keajaiban tersebut. Namun, ada juga yang berduka dengan kelalaiannya sendiri setelah ditarik nikmat yang dikecapi selama ini.

Sebetulnya keajaiban boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ada ketikanya seseorang yang telah koma berpuluh tahun telah sedar dan pulih dan dapat hidup seperti sediakala. Ada juga yang berjaya mengandung anak pertama setelah usianya begitu lanjut dan hampir berputus harap untuk mendapatkan zuriat.

Begitu juga dengan pelajar yang begitu lambat dan cukup lemah dalam pembelajaran sewaktu di sekolah rendah akhirnya boleh menjadi seorang doktor pakar. Malah, ada juga yang bertemu jodoh dengan kekasih lama setelah begitu lama berpisah.

Selain itu, keajaiban juga boleh berlaku dalam proses perkembangan kehidupan manusia. Kalau dahulu mereka hidup susah dan miskin, namun telah menjadi kaya-raya hanya kerana bekerja sebagai tukang kebun kepada seorang jutawan yang tidak mempunyai anak untuk mewarisi hartanya.

Begitu juga dengan orang yang bergelar super jutawan boleh jatuh miskin kerana ditipu oleh rakan baik sendiri.

Isu berkaitan dengan keajai-ban juga diceritakan dalam satu hadis sahih oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seorang wanita pelacur diampuni oleh ALLAH. Wanita itu lalu berhampiran seekor anjing di sebuah perigi. Anjing itu hampir mati kerana kelaparan. Lalu wanita itu menanggalkan seliparnya, kemudian mengikatnya dengan tudung kepalanya, lalu mengambil air untuk anjing tersebut. Wanita itu diampuni dosanya kerana hal tersebut.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Hakikatnya, keajaiban berlaku bukan disebabkan oleh pemberian daripada pelacur itu, namun disebabkan oleh keikhlasan yang ada dalam hati wanita berkenaan yang menyebabkan perbuatan tersebut diangkat begitu tinggi di sisi ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Isu keikhlasan juga pernah dikongsi cerita oleh Mufti Menks dari Zimbabwe berkaitan doa seorang wanita yang dimakbulkan ALLAH untuk bertemu dengan seorang doktor di Pakistan yang mempunyai kepakaran dalam bidang neurologis.

Kesan doa wanita tersebut menyebabkan kapal terbang kecil yang dinaiki oleh doktor berkenaan seperti ‘dipaksa’ oleh ALLAH untuk mendarat cemas di perkampungan beliau.

Justeru, niat yang benar-benar ikhlas kepada ALLAH dalam melakukan kebajikan dan sentiasa berdoa kepada ALLAH dengan penuh pengharapan akan membantu kita memperoleh apa yang tidak terfikir untuk diperoleh.

Jadi, kita perlu memupuk niat yang ikhlas dalam diri sepanjang masa agar sentiasa mendapat keberkatan ALLAH SWT.

Sehubungan itu, Umar bin al-Khattab RA telah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Selain itu, kesabaran dan ketabahan kita mendepani setiap ujian serta cabaran akan menjadikan kita lebih kuat dan diangkat darjat yang lebih tinggi oleh ALLAH SWT.

Pun begitu, bagi mereka yang masih menganggap bahawa nikmat yang diperoleh bukannya ujian untuk mereka menyebabkan segala nikmat yang dikecapi selama ini akan ditarik dengan begitu mudah oleh ALLAH SWT.

Pada hemat saya, keajaiban yang dikurniakan kepada kita disebabkan tiga perkara penting iaitu sentiasa tanamkan perasaan ikhlas dalam diri, bersabar dan jangan mudah berputus harap dengan ujian yang diterima serta sentiasa menyedari bahawa segala nikmat dikurniakan oleh ALLAH SWT adalah ujian yang lebih besar sebenarnya kepada kita.

Justeru, kerap kalilah menyebut ungkapan 'Cukuplah ALLAH bagi aku' supaya kita sentiasa terlindung dan terbimbing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!