KPM tak terlibat tamat kontrak pekerja kebersihan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pihaknya tidak terlibat dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pekerja kebersihan sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM berkata, ia sebaliknya dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak.

Katanya, jumlah tenaga kerja digunakan bergantung kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk menyediakan perkhidmatan kerja-kerja kebersihan di bangunan dan kawasan bagi sekolah atau institusi pendidikan di bawah KPM.

"Syarikat-syarikat tersebut perlu mematuhi syarat-syarat dan skop yang ditetapkan dalam kontrak," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihaknya telah mengubah skop kontrak perkhidmatan kerja-kerja kebersihan bagi syarikat-syarikat yang kontraknya berkuatkuasa 1 Januari 2019, selari dengan dasar mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan kerajaan yang diamalkan.

Di bawah skop lama, katanya, penentuan bilangan pekerja adalah dengan mengambil kira enrolmen murid dan penghuni asrama, namun kriteria tersebut tidak lagi digunakan dalam kontrak baharu bermula tarikh berkenaan.

"Dengan ini, bilangan pekerja kebersihan yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya dua orang bagi sekolah kurang murid (SKM) iaitu sekolah yang mempunyai 150 murid dan kurang, mengambil kira keperluan minimum iaitu seorang pekerja bagi pembersihan bangunan dan seorang pekerja bagi pembersihan kawasan serta landskap sekolah.

"Bagi sekolah bukan kategori SKM, bilangan pekerja bergantung kepada keluasan sekolah, bilangan blok, aras setiap blok dan bilangan bilik air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, skop kontrak perkhidmatan itu hanya melibatkan syarikat-syarikat baharu bagi menggantikan syarikat-syarikat yang telah tamat kontrak pada 31 Disember 2018.

Mengulas mengenai pandangan supaya murid turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan, KPM menegaskan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan sebegitu.

Namun, katanya, KPM tiada halangan sekiranya terdapat sekolah yang ingin menugaskan murid bagi melaksanakan kerja pembersihan yang mudah dengan pengawasan guru dan tidak mengabaikan aspek keselamatan dan bukan dengan tujuan menggantikan pekerja-pekerja kebersihan.

"Amalan menjaga kebersihan ini boleh menjadi sebahagian daripada pendidikan dan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan murid sekilah, seterusnya dapat diaplikasikan dalam kehidupan mereka.

"Bahkan menjadi amalan biasa sekolah-sekolah di negara maju khususnya Jepun untuk murid-murid turut sama mengambil bahagian aktif secara terancang dalam aktiviti membersihkan sekolah sebagai sebahagian daripada pelaksanaan amalan nilai-nilai murni seawal peringkat sekolah rendah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!