Di mana nak lupuskan TV ni?
SUDAH beberapa hari sebenarnya saya tidak dapat menonton televisyen. Anak-anak pun merungut juga. Setelah siaran analog ditukar kepada digital, ada masalah pula pada televisyen saya. Biasalah televisyen 21 inci lama. Sudah bertahun-tahun juga menggunakannya.
Masalah yang saya alami sebenarnya adalah kerosakan kepada kemasukan video dan audio. Dekoder dah ada. Antena pula terpaksa beli yang baharu. Itupun mengambil masa juga untuk membelinya kerana sentiasa kehabisan stok. Akhirnya setelah berjaya membelinya, TV pula rosak.
Saya ada juga ke kedai untuk cuba membaiki kerosakan tersebut. Hampir tiga hingga empat buah kedai juga saya pergi. Semuanya memberitahu: “Aiya, tidak ada barang.”
Ada juga yang menyarankan saya membeli TV digital yang baharu sahaja.
“Aisehman tuan, beli TV baharu sahaja. Digital flat skrin. Murah sahaja ma.”
Cuma saya berfikir, setelah tidak ada kedai yang mahu membaikinya, walaupun TV tersebut masih boleh digunakan lagi kalau menggunakan siaran analog ialah di mana saya hendak membuangnya, dengan kata lain melupuskannya.
Entah berapa ramai lagi yang mungkin juga mempunyai masalah seperti saya dan tidak tahu hendak melupuskannya di mana.
Di rumah saya sahaja pun, sudah ada dua TV lain yang rosak juga. Satu TV analog dan satu flat skrin. Flat skrin, cerminnya sudah pecah. Nah, sekarang sahaja saya sudah mempunyai tiga buah TV yang perlu dilupuskan.
Ia juga menimbulkan masalah alam sekitar. Melupuskan barang-barang elektronik atau dipanggil E-Waste ini adalah satu cabaran kepada negara. Bukan TV sahaja, alat-alat elektronik lain juga.
Ketika melayari laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), saya ada membaca statistik fakta dan nombor yang dipaparkan mengenai isu E-Waste ini. Laporan pengunjuran untuk E-Waste di Malaysia agak tinggi dan akan meningkat lagi katanya.
Menurut laman JAS tersebut, angga-ran kenaikan pembuangan barang-barang elektronik secara puratanya meningkat sebanyak 14 peratus setahun. Pada 2020, sebanyak 1.17 bilion unit atau 21.38 juta tan E-Waste akan terhasil dan yang paling banyak iaitu yang pertama ialah telefon bimbit dan yang kedua televisyen.
Buat masa sekarang, Malaysia hanya menerima enam jenis barang-barang elektronik sahaja untuk dilupuskan iaitu televisyen, pendingin hawa, peti sejuk, mesin basuh, komputer dan telefon bimbit.
Untuk melupuskan barang-barang itu, kita perlu mencari mereka-mereka yang berdaftar dengan JAS.
Ada juga yang mungkin pelupus tidak berdaftar dan mereka ini mungkin lebih kepada atas dasar perniagaan sahaja tanpa mengikuti panduan yang disediakan oleh JAS dalam menguruskan bahan tersebut dengan betul.
Oleh itu, sebelum membuangnya rujuk dengan JAS terlebih dahulu untuk memastikan siapa yang sepatutnya menguruskan barang-barang buangan tersebut. Ia untuk mengelakkan terjadi pelupusan dengan cara tidak sepatutnya.
Sebelum ini saya tercari-cari di mana hendak dibuang barang-barang tersebut. Ratanya-ratanya mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana hendak menguruskan atau melupuskan E-Waste dengan betul.
Keadaan itu menyebabkan penguru-san bahan-bahan lupus tersebut tidak diuruskan dengan betul dan mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh JAS.
Selain itu, barang-barang elektronik itu mungkin tidak bernilai sangat. Mereka yang terlibat dengan aktiviti pelupusan lebih mengutamakan barang yang mempunyai nilai sahaja.
Isu yang paling besar adalah persekitaran tempat pengumpulan. Ia sepatutnya dilengkapi dengan perkakasan, mesin dan persekitaran tempat itu sendiri untuk melindungi alam sekitar.
Ia melibatkan perbelanjaan besar yang membuatkan lahirnya pusat pengumpul yang tidak mengikut panduan rekabentuk yang betul.
Sebenarnya sistem pelupusan yang ada di Malaysia sekarang lebih kepada penumpuan kepada E-Waste industri. Belum ada secara khususnya untuk E-Waste isi rumah. Namun, kerajaan secara amnya dan JAS secara khususnya telah berusaha untuk memperbaiki sistem E-Waste isi rumah menjadi lebih baik.
Mungkin juga pada masa akan datang, contohnya semasa pelaksanaan penuka-ran sistem analog kepada digital, JAS boleh memainkan peranan penting. Uar-uarkan sekali bersama iklan penukaran sistem siaran digital itu.
Selitkan mesej bersama di media untuk mereka yang terpaksa membuang TV lama yang rosak dan perlu menukar TV baharu untuk mendapatkan siaran digital, dapat melupuskan dengan cara yang betul.
*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bertanya khabar, e-mel beliau mrfaisalmuhamad@gmail.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!