'Mat Kereta' angkat martabat kereta tempatan

Sebahagian pemilik kereta tempatan yang menyertai program permotoran anjuran BKGK di seluruh Malaysia. Foto: BKGK
Sebahagian pemilik kereta tempatan yang menyertai program permotoran anjuran BKGK di seluruh Malaysia. Foto: BKGK
A
A
A

KOTA BHARU - Sesuatu yang membanggakan apabila di saat kereta jenama luar negara menjadi kegilaan ramai tetapi masih terdapat segelintir pihak yang terus memartabatkan keunggulan jentera keluaran tempatan.

Bergerak di bawah nama pengurusan acara permotoran, Budak Kereta Geng Kita (BKGK), kumpulan itu aktif menganjurkan lebih 50 acara permotoran membabitkan kereta keluaran Proton dan Perodua kebanggaan negara.

Pengurus kumpulan BKGK, Nik Ahmad Tajul Ariff Mohd Rafi berkata, pihaknya sudah menjelajah lebih 270 ribu kilometer di seluruh negara termasuk Perak, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan sepanjang bermula penubuhannya pada 2015.

Nik Ahmad Tajul Arif
Nik Ahmad Tajul Arif

Mengagumkan katanya, setiap acara dianjurkan mampu mengumpul 3,000 hingga 5,000 peserta termasuk bersama Geng Kelab Kereta Utara (GKKU) membabitkan acara pertandingan pameran kereta (autoshow), himpunan kelab kereta, program amal berkereta dan sebagainya.

“Aktiviti sebegini adalah idea saya sendiri kerana lihat ramai anak muda sangat sukakan kereta dan audio, tetapi tidak ada saluran sesuai untuk ketengahkan minat mereka.

“Jadi kita buat acara untuk mereka serlahkan bakat dan idea sambil mengumpul peminat dan pakar kereta khususnya jenama negara kita," katanya ketika ditemui di Kota Bharu kelmarin.

Artikel Berkaitan:

Nik Ahmad Tajul berkata, BKGK memilih acara permotoran kenderaan tempatan kerana mahu produk keluaran negara turut menguasai pasaran belian kenderaan selain menampilkan ciri-ciri istimewa kereta Proton dan Perodua yang mampu bersaing dengan kenderaan luar negara dalam memberi kepuasan kepada peminat kereta terutamanya lelaki.

Katanya, kereta jenama seperti Perodua Viva, Myvi, Kancil, Bezza, Kenari, Kelisa dan produk Proton seperti Waja, Iswara, Saga, Gen2, Satria, Persona hingga ke kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti model Exora dan Perodua Alza dipertandingkan seperti ubahsuai, sistem audio terbaik, kelab kereta terbaik, enjin, rim aloi (sport rim) dan hiasan kereta.

Ubah suai yang mengagumkan. - Foto: BKGK
Ubah suai yang mengagumkan. - Foto: BKGK

Malah, katanya BKGK juga bertujuan mahu menukar persepsi masyarakat terhadap hobi berkereta seperti aktiviti lumba haram dan permotoran yang dipandang negatif ditukar sebagai acara yang mampu menarik pelancongan di samping mengumpul pelbagai latar belakang peserta.

Tambahnya, ia melibatkan peniaga kedai aksesori kenderaan, pengusaha bengkel, tayar, minyak hitam dan berkaitan dunia permotoran dikumpulkan dalam satu acara besar-besaran.

“Sudah pasti ini dapat mengeratkan silaturahim antara peserta dan mengembangkan peluang ekonomi sesama peserta, selain kita juga aktif menggerakkan kerja-kerja amal bersama 'mat kereta' ini bagi menanam sikap positif di kalangan mereka," katanya.

Nik Ahmad Tajul berkata, terbaharu pihaknya menyasarkan mahu mengumpul 3,000 hingga 5,000 buah kereta tempatan ini dalam Himpunan Pemilik Proton vs Perodua Day yang akan berlangsung di Litar Gong Badak, Terengganu pada 30 November ini.

Kenderaan keluaran tempatan tidak kurang hebatnya. - Foto: BKGK
Kenderaan keluaran tempatan tidak kurang hebatnya. - Foto: BKGK

Katanya, terdapat lebih 30 acara menarik menanti selain pertandingan kereta dengan hadiah kemenangan wang tunai RM1,500 hingga RM800 bersama piala setinggi tujuh hingga empat kaki.

Selain membabitkan lebih 30 acara lain seperti stance,audio, autoshow, persembahan 'split fire',dikir barat, pertandingan karaoke kelab kereta, sukaneka, pertandingan mewarna dan demo permotoran serta serta gerai jualan.

Bagi yang ingin mengetahui maklumat lanjut berkaitan aktiviti dan program anjuran BKGK boleh melayari laman sosial Facebook 'Budak Kereta Geng Kita'.

“Selain kereta tempatan, kita juga turut sertakan kereta jenama luar negara bergantung pada permintaan, apa yang penting, kita nak jadikan mat-mat kereta ni libatkan diri dalam aktiviti sihat berbanding lumba haram atau gejala sosial," katanya.

Peminat dan pakar kereta berkumpul.- Foto: BKGK
Peminat dan pakar kereta berkumpul.- Foto: BKGK

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!