Tanah runtuh: Lelaki tertimbus ditemukan maut

Mayat mangsa berjaya ditemui pada jam 10.31 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Mayat mangsa berjaya ditemui pada jam 10.31 malam sebelum diserahkan kepada pihak polis.
A
A
A

LARUT - Seorang lelaki yang dikhuatiri tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau, petang tadi ditemui meninggal dunia.

Mangsa dikenali Hanudin Bahazim, 60, ditemui anggota bomba yang menjalankan kerja-kerja menyelamat sekitar jam 10.31 malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di bahagian dapur rumah pada kedalaman tiga meter dari kesan runtuhan itu.

"Pasukan penyelamat berdepan kesukaran dalam proses mencari dan menyelamat kerana keadaan hujan.

"Apabila kerja-kerja pengorekkan dilakukan, didapati masih berlaku pergerakan tanah yang memungkinkan berlakunya lagi tanah runtuh," katanya.

Jengkaut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri ditimbus dalam runtuhan tanah.
Jengkaut digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikhuatiri ditimbus dalam runtuhan tanah.

Menurutnya, proses pemantauan tetap dilakukan di lokasi kejadian dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati kawasan runtuhan.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang tidur di atas bangku di bahagian dapur rumah.

Isterinya, Milah Che Pi, 51, ketika itu berada di dalam bilik dan cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad, berkata, kesan runtuhan pada jam 6.25 petang itu menyebabkan tiga rumah di kawasan berhampiran tertimbus.

Katanya, terdapat enam mangsa terlibat, seorang daripada mangsa disahkan meninggal dunia, dua mengalami kecederaan sementara tiga lagi terselamat.

"Dua yang cedera merupakan wanita masing-masing berusia 75 dan 24 tahun dipercayai tertindih batu dinding dan terpijak paku.

"Kedua-duanya telahpun mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Selama," katanya.

Runtuhan tanah yang berlaku lewat petang telah mengorbankan seorang lelaki di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid, Ijok semalam.
Runtuhan tanah yang berlaku lewat petang telah mengorbankan seorang lelaki di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid, Ijok semalam.

Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa disertai 104 anggota dari pelbagai agensi antaranya polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, siasatan awal mendapati, tanah runtuh berlaku di Seksyen 16.4 Jalan Rantau Panjang-Lata Tinggi, Selama sepanjang 200 meter.

"Laluan berkenaan sama sekali tidak boleh dilalui pengguna, bagaimanapun kerja-kerja pembersihan dan pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilakukan bagi mengawal keadaan di situ," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan semua mangsa yang terlibat dalam tragedi itu.

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum kejadian itu dan akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian serta mengambil langkah-langkah segera supaya kejadian ini tidak berulang.

"Dengan penuh hiba dan dukacita, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hanudin Bahazim yang disahkan terkorban.

"Bersama kita doakan agar keluarga mangsa dikurniakan ketabahan menghadapi dugaan yang begitu berat ini.

"Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada semua anggota penyelamat dari jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan yang telah terlibat dalam operasi dan membantu mangsa di lokasi," katanya.

JBPM menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.
JBPM menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

ARTIKEL BERKAITAN

Tanah-runtuh-Seorang-lelaki-dipercayai-tertimbus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!