Melacur kerana 'gelap mata' dengan duit

Nur kini menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti (P) Marang sejak tiga bulan lalu.
Nur kini menjalani pemulihan di Sekolah Tunas Bakti (P) Marang sejak tiga bulan lalu.
A
A
A

MARANG - Pendapatan lumayan sehingga RM800 semalaman menjadikan seorang remaja perempuan 'gelap mata' sehingga terbabit aktiviti pelacuran.

Kemewahan itu menyebabkan gadis berkenaan mengabaikan pelajaran dan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Menurut Nur (bukan nama sebenar) yang kini berusia 18 tahun, kemewahan yang dicari telah menjadi malapetaka dalam hidupnya selain kesilapan silap memilih rakan sehingga terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Dia yang berasal dari Perak berkata, jalan hitamnya bermula apabila melihat kawan baiknya yang berusia 22 tahun sentiasa bergaya mewah.

"Dia tahu saya memerlukan duit dan memujuk dengan menawarkan pekerjaan. Ketika itu saya tidak tahu jenis kerja tersebut sehinggalah dia memperkenalkan saya kepada seorang pak cik (bapa ayam).

"Saya kenal pak cik itu kerana dia pemandu van dan pernah membantu menghantar saya ke sekolah sebelum ini.

"Tak sangka dia terlibat dengan aktiviti ini tapi bila sudah gelap mata dengan duit, saya ikutkan sahaja," katanya ketika ditemui di Sekolah Tunas Bakti (P) di sini, baru-baru ini.

Jelas Nur, pak cik yang berusia 70-an itu bukan sahaja mencari pelanggan tetapi turut mengambil dan menghantarnya kepada pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Kegiatan itu dilakukan sejak pertengahan tahun lalu dan kebanyakannya dilakukan di hotel sekitar Perak.

Anak sulung daripada tiga beradik itu juga bijak berselindung daripada pengetahuan ibunya dan sentiasa memberi alasan ingin ke rumah kawan untuk belajar.

"Bayaran pula bergantung kepada pelanggan. Ada masanya saya juga diberikan tips antara RM150 hingga RM300. Bayaran paling tinggi saya pernah terima ialah RM800," katanya.

Nur berkata, dia terperangkap selepas polis menyamar sebagai pelanggan.

"Ketika itu saya malu dan sedih. Saya tidak tahu bagaimana penerimaan keluarga," katanya.

Jelas Nur, dia memohon maaf daripada ibunya sebaik sahaja ditangkap namun tahu tindakan itu belum memadai di atas segala dosa yang dilakukan.

Nur kemudiannya dihantar ke Sekolah Tunas Bakti (P) Marang dan bersyukur kerana masih diberi peluang kedua untuk berubah dan menyambung kembali pelajarannya.

"Sehingga sekarang saya masih terkesan dan menyesal dengan perbuatan lalu. Syukurlah di sini saya kembali memegang al-Quran yang lama ditinggalkan dan solat penuh lima waktu.

"Ibu saya seorang ibu tunggal dan hanya bekerja kilang. Saya tak mahu lagi menyusahkan ibu dan berdoa moga saya masih belum terlambat untuk berubah serta menjadi anak soleh yang berjaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!