Pasangan warga emas rentung
KOTA KINABALU - Sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kinapulidan, Ranau, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi, pasangan yang meninggal dunia itu dikenali sebagai Yahya Maidin serta isterinya Wasiah Wakadi, masing-masing berusia 70 tahun dan kedua-dua mangsa ditemui di ruang tamu tingkat bawah rumah mereka.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.29 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Penyelamat Ranau bergegas ke lokasi kejadian terletak kira-kira sembilan kilometer.
Kejadian kebakaran itu melibatkan sebuah rumah satu tingkat jenis separuh kekal yang dihuni 20 ahli keluarga.
“Bagaimanapun, semasa kebakaran berlaku, hanya 18 orang sahaja berjaya keluar menyelamatkan diri manakala dua lagi warga emas ditemui rentung oleh pasukan bomba di kawasan ruang tamu tingkat bawah rumah tersebut pada jam 5.18 pagi tadi,” menurut jabatan itu dalam kenyataan di sini hari ini.
Pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.16 pagi dan punca serta kerugian akibat kebakaran itu masih disiasat.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal dalam kemalangan di Jalan Tuaran By Pass berhampiran Inanam, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.48 pagi itu, mangsa meninggal dunia dikenali sebagai Haji Lahir, 58, ditemui tersepit sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Penunggang motosikal terbabit dikenali sebagai Syukry Md Shukor mengalami cedera ringan dan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Di Sipitang, seorang maut, seorang parah manakala sembilan yang lain mengalami cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda di Tunggul Tinggi berhampiran Jalan Beaufort-Sipitang semalam.
Pusat gerakan operasi JBPM Sabah berkata, dalam kejadian jam 6.12 petang itu, mangsa dikenali sebagai Salim Khan Abdul Sapar disahkan meninggal dunia di hospital. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!