Tiga cedera kereta jatuh gaung di LPT1
MARAN - Pemandu dan dua orang penumpang cedera selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 197.6 Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Kampung Paya Bungor di sini pagi tadi.
Dalam kejadian itu, dua lelaki yang berada dalam kereta jenis Honda City itu cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Maran untuk menerima rawatan, manakala seorang wanita dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.02 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Taman Tas ke lokasi kejadian.
"Anggota bomba berjaya menaikkan tiga mangsa menggunakan 'stretcher' ke bahu jalan dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!