11 suspek bunuh Khashoggi dibicara
RIYADH - ARAB SAUDI. 11 suspek yang disyaki terlibat dalam pembunuhan wartawan terkenal, Jamal Khashoggi menghadiri perbicaraan pertama di mahkamah di Riyadh, hari ini.
Saudi Press Agency melaporkan peguam negara menuntut hukuman mati ke atas kesemua suspek tersebut yang hadir bersama peguam mereka.
Menurut Peguam Negara, Riyadh telah mengemukakan permintaan rasmi sebanyak dua kali untuk mendapatkan bukti dari Turki di mana kolumnis The Washington Post berusia 59 tahun itu dibunuh kejam di Konsulat Saudi di Istanbul, namun tiada respons diberikan.
Nama kesemua 11 defendan itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Sebelum ini, Turki pernah menuntut kesemua suspek yang terlibat dalam pembunuhan itu diekstradisi untuk dibicarakan di Ankara.
Tetapi, permintaan itu telah ditolak berulang kali oleh Riyadh.
Pengkritik lantang Putera Mahkota, Mohammed Salman itu didakwa dicekik dan tubuhnya dikerat-kerat oleh pasukan terdiri daripada 15 individu yang diterbangkan ke Istanbul untuk membunuhnya.
Sehingga kini, mayatnya tidak ditemui dan dipercayai telah dilupuskan dengan asid.
Oktober lalu, pihak berkuasa Turki turut melakukan pemeriksaan di konsulat dan kediaman konsul serta beberapa lokasi lain. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!