Caj plastik diperluas ke semua premis mulai 2022: Wan Azizah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kanan) melancarkan program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kanan) melancarkan program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - [DIKEMASKINI] Pengenaan caj ke atas beg plastik yang ketika ini telah dilaksanakan di premis perniagaan tetap akan diperluas ke semua jenis premis perniagaan mulai 2022, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Sebelum berakhirnya 2021, pengenaan caj ke atas beg plastik akan dilaksanakan di semua premis perniagaan tetap dan (kemudian) ia akan (dilaksanakan) kepada semua premis perniagaan bermula pada tahun 2022," katanya selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran Ecobio Pack Sdn Bhd dan NGO Pawana di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, langkah itu adalah antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang termasuk amalan tiada penggunaan straw yang menggalakkan pengguna untuk minum terus dari cawan atau gelas.

"Pengenaan caj ke atas beg plastik dan tiada penggunaan straw adalah inisiatif kerajaan dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna dan sekali gus dapat mendorong pengguna untuk membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli-belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman," katanya.

Beliau turut memuji usaha yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan hasil caj penggunaan beg plastik untuk tujuan program pemuliharaan alam sekitar serta menyeru negeri-negeri lain supaya menjadikannya contoh untuk dilaksanakan di negeri masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan jaket Eco Warrior pada majlis pelancaran program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan jaket Eco Warrior pada majlis pelancaran program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama

Kerajaan sebelum ini telah pun memperkenalkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik sejak 1 Januari 2011 pada setiap hari Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sarawak telah mula mengambil langkah yang sama.

Di Wilayah Persekutuan pula, peruncit hanya dibenarkan untuk menyediakan beg plastik dari kategori biodegradasi dan compostable. Bermula Mac lalu peruncit mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg daripada jenis itu kepada pelanggan.

Selain itu, beberapa negeri telah memulakan kempen pemberian straw atas permintaan iaitu di Wilayah Persekutuan (bermula Januari 2019), Kedah dan Pulau Pinang (bermula April 2019) dan Selangor (bermula 1 Julai 2019).

Wilayah Persekutuan turut mengenakan larangan penggunaan straw plastik dengan penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020.

Mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Azizah berkata, isu mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri telah pun dipersetujui semua pemimpin komponen PH sebelum ini.

"Boleh juga kita jumpa (bincang) tetapi macam Tan Sri katalah, dia juga telah tandatangani (setuju)," katanya ringkas.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan produk keluaran Ecobio Pack Sdn Bhd pada majlis pelancaran program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua dari kiri) menunjukkan produk keluaran Ecobio Pack Sdn Bhd pada majlis pelancaran program Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran bersama Ecobio Sdn Bhd dan NGO Pawana hari ini. - Foto: Bernama

Mengenai kenyataan penganalisis dasar awam Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah kerajaan PH sebagai ‘bencana tidak terkawal', beliau menggesa penganalisis itu membuat perbandingan yang lebih adil.

“Jika BN (Barisan Nasional) terus (memerintah), (isu) 1MDB tidak terbongkar, macam-macam (penyelewengan) lagi tidak terbongkar...analisis yang itu juga. Nak kritik memang senang, tetapi perlu adil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PH sedang melaksanakan mandat rakyat iaitu memperbaiki kepincangan yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

Semalam sewaktu Forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’ Lim mendakwa kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang dan menyifatkan pemerintahan PH sebagai satu ‘bencana yang tidak terkawal’. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!