Nasib graduan institusi pergigian Taiwan ditentukan dalam masa terdekat

Dr Dzulkefly - Foto Bernama
Dr Dzulkefly - Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung graduan pengajian pergigian daripada tujuh institusi pergigian di Taiwan yang tidak diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya mengambil maklum isu berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

"Perkara ini sedang diperhatikan dengan lebih dekat oleh pimpinan tertinggi termasuk Ketua Pengarah Kesihatan khususnya timbalan saya yang telah melakukan beberapa perbincangan dan saya yakin dalam masa terdekat, saya akan dapat berikan kenyataan lebih jelas.

“Jadi, tunggu pengumuman rasmi saya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampungku Peringkat Daerah Pontian Sihat di Mukim Penghulu Serkat di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai graduan Malaysia dari tujuh sekolah pergigian di Taiwan yang kini menghadapi ketidakpastian selepas mendakwa institusi pergigian ini dibuang tanpa amaran daripada senarai jadual kedua Akta Pergigian 1971.

Tujuh institusi pergigian tersebut ialah Taiwan University School of Medicine, National Defense School of Medicine, Yangming University School of Medicine, Taipei Medical University, China Medical University, Zhongshan Medical University dan Kaohsiung Medical University.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden Majlis Pergigian Malaysia (MDC) berkata, kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan berkenaan tidak pernah diiktiraf dan tidak pernah disenaraikan di bawah jadual kedua akta itu.

Bagaimanapun, katanya graduan pergigian dengan kelayakan yang tidak diiktiraf termasuk dari institusi pergigian Taiwan itu mungkin dipertimbangkan mengikut Seksyen 12(3) atau Seksyen 12 (9) Akta Pergigian 1971 sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan MDC. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!