Pemimpin PBB gesa rundingan untuk hentikan konflik di Syria diadakan

Antonio Guterres -Foto AFP
Antonio Guterres -Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat memuji langkah mengurangkan pertempuran di timur laut Syria baru-baru ini dan menggesa negara yang terlibat agar memulakan rundingan bagi menghentikan konflik lapan tahun di kawasan itu secara serius.

Menjawab soalan agensi berita Anadolu, Guterres berkata, konflik yang semakin mereda di rantau itu adalah susulan perjanjian yang dicapai antara Turki dan Rusia pada minggu ini.

“Objektif utama kami amat mudah, tiada peningkatan dalam konflik dan saya gembira kerana kami belum menerima maklumat bahawa pihak yang terlibat dalam konflik melakukan perkara yang tidak sepatutnya di timur laut Syria ketika ini,” kata Guterres kepada pemberita di ibu pejabat PBB di sini.

“Komitmen penuh kami kini ialah memastikan Jawatankuasa Perlembagaan akan memulakan tugasnya di Geneva sebagai langkah pertama kepada penyelesaian politik yang diharap akan membawa kepada pengakhiran episod tragik ini dalam hidup rakyat Syria," katanya.

Guterres turut menangani kebimbangan berkaitan isu anggota kumpulan pengganas Daesh melarikan diri dari pusat tahanan yang dikuasai Unit Perlindungan Rakyat (YPG) di timur laut Syria semasa operasi ketenteraan yang dilancarkan Turki di wilayah itu pada awal bulan ini.

Dilancarkan pada 9 Oktober, Operasi Peace Spring adalah bertujuan menghapuskan elemen-elemen YPG dari utara Syria di timur Sungai Euphrates dalam usaha menjaga keselamatan di sempadan Turki, membantu kepulangan selamat pelarian Syria dan memastikan integriti wilayah Syria. YPG adalah cabang Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan di Syria.

Ankara dan Moscow telah mencapai satu perjanjian yang menyaksikan pejuang YPG/PKK akan berundur sejauh 30 kilometer (18.6 batu) dari selatan sempadan Turki dengan utara Syria dalam tempoh 150 jam dan pasukan keselamatan dari Turki dan Rusia akan menjalankan rondaan bersama di kawasan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!