Sijil halal: Jakim siasat aduan salah laku

Logo halal - Foto internet
Logo halal - Foto internet
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa mengambil berat dakwaan berlakunya salah laku oleh pegawainya dalam proses pemberian pensijilan halal.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, permintaannya sebelum ini supaya pihak yang membuat dakwaan berkenaan supaya menyertakan bukti tidak bermakna tiada sebarang siasatan dibuat berkenaan perkara itu.

“Dalam Jakim, kita sedang laksanakan siasatan dan kita tidak akan berkompromi sekiranya ada berlaku salah laku dari segi proses pensijilan itu.

“Sesiapa saja boleh datang memberi maklumat dan kita akan melindungi identiti ‘whistle blower’ itu kerana kita amat ambil berat integriti Jakim,” katanya kepada kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Rahmah 3R, di sini hari ini.

Beliau mengulas artikel terbaharu oleh oleh Murray Hunter di laman web Asia Sentinel, semalam bertajuk ‘Jakim’s Halal Crisis Deepens’ yang menurutnya mendakwa Jakim tidak bersungguh-sungguh menyiasat salah laku itu dan pemberi maklumat (whistle blower) tidak berani untuk memberi maklumat berkaitan perkara berkenaan.

Pada 13 Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuantan itu dilaporkan mengingatkan pihak yang membuat dakwaan itu segera mengemukakan bukti kepada Jakim yang telah bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya perlu.

Beliau turut mempersoalkan integriti laman web yang menerbitkan artikel itu kerana menurutnya, pejabat Asia Sentinel di Kanada dan Hong Kong telah ditutup.

Mengenai penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP), beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang berkata, 542 MPKKP dengan 7,046 ahli akan menjalankan tugas bermula 1 Januari 2020 di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dengan penubuhan MPKKP ini, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) negeri tidak lagi akan dibiayai kerajaan Persekutuan dan terserah kepada kepada kerajaan negeri untuk meneruskan aktivitinya.

Katanya, PH pada asasnya tidak mahu menubuhkan MPKKP kerana ia boleh memecahbelahkan masyarakat di akar umbi tetapi tidak dapat mengelakkannya kerana MPKK negeri terlibat dalam politik. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!