Suami tertimbus tanah runtuh depan mata isteri

Milah Che Pi ketika ditemui di pusat penempatan sementara malam tadi sejurus selepas kejadian itu.
Gambar kecil: Hanudin Bahazim
Milah Che Pi ketika ditemui di pusat penempatan sementara malam tadi sejurus selepas kejadian itu. Gambar kecil: Hanudin Bahazim
A
A
A

LARUT - "Bunyi dentuman sangat kuat, beberapa saat selepas itu makcik nampak tanah runtuh dan suami makcik terus hilang ditimbus runtuhan itu," kata Milah Che Pi, 51, menceritakan detik cemas yang mengorbankan suaminya dalam tragedi tanah runtuh di Jalan Kampung Teras, Kampung Masjid Ijok, Batu Kurau, semalam.

Milah berkata, ketika kejadian dia baru sahaja selesai solat Asar dan suaminya, Hanudin Bahazim, 60, sedang tidur di ruang rehat bahagian dapur rumah mereka.

Menurutnya, dentuman kuat kedengaran sebanyak dua kali menyebabkan dia segera berlari ke arah dapur untuk mengejutkan suaminya.

"Mak cik nampak bahagian dapur habis ditimpa tanah dan ketika itu suami mak cik cuba bangun untuk menyelamatkan diri tetapi kudratnya tidak kuat menyebabkan dia terperangkap dalam runtuhan itu," katanya.

"Arwah memang jadikan ruang dapur sebagai tempat berehat. Tak sangka boleh jadi seperti ini, sampai sekarang mak cik masih terbayang-bayang lagi kejadian itu," katanya.

Jenazah Hanudin yang juga bekas bilal Masjid Toh Paduka Batu Kurau itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Kejadian sekitar jam 6.25 petang itu turut menyebabkan dua lagi rumah berhampiran rosak selain dua wanita, Rasibah Nik Hussin, 72, dan cucunya Sarah Juhan, 24, cedera akibat tertindih batu dinding dan terpijak paku.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: 50 keluarga dinasihatkan pindah

Kedua-dua mereka kini sedang menerima rawatan di Hospital Selama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluangkan masa melawat Rasibah yang menerima rawatan di Hospital Selama.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluangkan masa melawat Rasibah yang menerima rawatan di Hospital Selama.

Cucu Rasibah, Norhisham Ismail, 37, bersyukur dan terharu dengan keberanian penduduk kampung yang sanggup menerjah masuk ke rumah untuk menyelamatkan nenek dan sepupunya.

Katanya, ketika kejadian, neneknya tidak dapat bergerak untuk menyelamatkan diri kerana kaki kanan ditimpa batu dinding yang runtuh.

"Beberapa penduduk mendengar nenek menjerit meminta tolong dan mereka masuk ke dalam rumah walaupun tahu risiko runtuhan.

"Mereka ramai-ramai mengangkat batu dinding itu dan angkat nenek saya ke rumah jiran. Sepupu saya, Sarah ketika itu juga dalam keadaan lemah kerana terkejut dan trauma dengan kejadian berlaku Syukurlah kedua-duanya selamat," katanya

Norhisham berkata, dia mengetahui kejadian itu sebaik menerima panggilan daripada rakannya sekitar jam 6.35 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!