KMM tidak pernah hina, perlekeh masyarakat bukan Melayu
KUALA LUMPUR – Sekretariat Kongres Maruah Melayu (KMM) tidak pernah menghina atau memperlekehkan masyarakat bukan Melayu sepanjang kongres berkenaan berlangsung Oktober lalu.
Memetik laporan MalaysiaGazette, Ketua Eksekutif KMM, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, penganjuran kongres berkenaan hanya bertujuan mengingatkan warganegara Malaysia mengenai kewajipan untuk menghormati institusi Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan negara.
“Kita juga tidak pernah memaksa, apatah lagi nak mencerca, nak memburuk-burukkan, nak mengecil-ngecilkan sebarang kelompok (kaum) warganegara kita.
“Kita harap semua yang hadir atau hanya mendengar ucapan kongres berkenaan meneliti sebaik-baiknya tentang perpaduan, obligasi dan tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia yang berpunca daripada rakyat Tanah Melayu.
“Sekarang kita jadi Malaysia, maka oleh kerana persoalan ini adalah persoalan semasa, ia sekali gus berkaitan dengan warganegara Malaysia seluruhnya; bukanlah kita mengatakan Melayu itu sebagai mendominasi, apatah lagi memiliki Malaysia. Tidak,” katanya.
Sebelum ini, Zainal yang juga pemegang Kerusi Majlis Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) diambil keterangan hampir dua jam oleh polis Bukit Aman bagi membantu siasatan polis berhubung ucapannya pada program KMM di Shah Alam, 6 Oktober lalu yang didakwa berbaur perkauman.
Zainal disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia berikutan laporan polis oleh Pegawai Khas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang pada 7 Oktober lalu.
Zainal berkata, ucapannya dalam program itu hanya bertujuan menuntut hak orang Melayu dan Islam seperti mana yang dijamin oleh Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Melayu itu asalnya bumiputera Tanah Melayu. Apabila menjadi Malaysia, kedudukan Melayu itu masih dalam Perlembagaan sebagai istimewa, apatah lagi sudah dimasukkan bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Kita juga masih memelihara komuniti-komuniti lain dan kepentingan-kepentingan mereka, kita amat jelas tentang ini.
“Kita tidak menuntut selain daripada apa yang diperuntukkan (Perlembagaan), apatah lagi peruntukan mengenai agama Islam, bahasa kebangsaan dan tanah rizab Melayu,” katanya.
Sementara itu menurut Zainal, resolusi daripada empat universiti tempatan dan majlis peguam Islam juga turut dibincangkan mengikut peruntukan Perlembagaan
“Barangkali sudah mencukupi untuk kita memperingatkan diri kita untuk mengkaji sebaik-baiknya dan menyatakan ketaatsetiaan kita berdasarkan Perlembagaan itu.
“Ini yang saya tegaskan dalam ucapan itu kerana obligasi, tanggungjawab dan janji kita sebagai warganegara Malaysia itu bukan sekadar kewajipan tetapi juga kemuliaan yang diberi kepada kita.
“Segi agama pun, janji itu adalah kemuliaan. Agama sendiri mengingatkan kita supaya kita memenuhi janji, tidak mungkir janji kerana itu kemuliaan kita kepada tuhan. Bila berjanji dalam Islam itu berjanji kepada tuhan, kerana itu tuhan memuliakan kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!