Mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat
SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor terus meningkat dengan seramai 661 mangsa daripada 185 keluarga kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di sekitar daerah berkenaan.
Jurucakap Smart Selangor Command Center (SSCC) berkata, sebuah lagi PPS dibuka bagi menampung pertambahan jumlah mangsa banjir berbanding tiga semalam.
"PPS terbaru adalah di SK (Sekolah Kebangsaan) Ijok yang dibuka pada 4 petang semalam yang menempatkan seramai 32 orang daripada 10 keluarga.
"PPS di SK Parit Mahang terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir di mana sehingga pagi ini seramai 492 mangsa daripada 138 keluarga ditempatkan di sana. Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields masih kekal 89 orang daripada 22 keluarga.
"Jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Jaya Setia turut meningkat dengan seramai 48 orang daripada 15 keluarga berbanding 46 mangsa pada petang semalam," katanya.
Tambah jurucakap berkenaan, pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan serta akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, situasi air pasang besar yang dijadualkan berlaku di pesisir pantai Selangor mulai awal pagi tadi adalah dalam keadaan terkawal.
"Sehingga kini keadaan dilaporkan terkawal, pihak kami juga tiada menerima sebarang laporan terdapat ban-ban telah pecah akibat air pasang besar pagi tadi," katanya.
Menurutnya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dan menempatkan anggota di kawasan yang berisiko tinggi sebagai langkah berjaga-jaga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!