1MDB, SRC sorak maruah Melayu
Bukan orang biasa saja tanya. Wartawan dan orang cerdik pun tanya. Tapi saya fahamlah. Mereka tanya sebab hendak uji pendirian saya. Banyak daripada mereka ini masih sokong Najib dan Barisan Nasional (BN).
Jawapannya mudah saja. Proses undang-undang ambil masa apatah lagi bila babitkan orang besar macam Najib. Lagi kaya tertuduh, lagi banyak peguam handal yang dia boleh upah untuk bela dia.
Macam-macam hujah dan cara mereka guna untuk lambatkan keputusan. Lagi tidak yakin mereka dengan ketidakbersalahan anak guaman mereka, lagi banyaklah tipu helah yang mereka akan buat.
Ini perkara biasa. Lagi pun peguam ini mereka dibayar upahan yang lumayan. Lagi besar kes lagi besarlah upah mereka.
Kes Najib bukan macam seorang penganggur atau ibu tunggal yang curi roti atau Milo dari pasar raya sebab nak bagi makan anak-anak yang lapar.
Orang miskin dia tak mampu ambil peguam. Jadi dia mengaku salah dan minta maaf. Itu pun kena denda dan penjara juga. Nampak macam tak adil.
Kes Najib ni besar dan dia pun bukan alang kepalang punya orang. Dia bekas Perdana Menteri, anak Tun Abdul Razak Hussein dan daripada keluarga orang kenamaan Pahang.
Dia bukan dituduh curi roti atau Milo. Dia dituduh lakukan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan duit haram.
Pendengaran kes dah selesai. Pada 11 ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan putuskan sama ada kes atau tidak. Kalau ada kes, Najib akan dipanggil bela diri. Kalau tak ada, bebaslah dia.
Tapi, sama ada Najib bersalah atau tidak, beban yang kita kena tanggung akibat perbuatan dia dan konco-konco dia akan berterusan.
Ini sudah jelas. Memang pada zaman pemerintahan Najib (2009-2018), banyak perbuatan yang merugikan dan membebankan negara terjadi.
Ambil contoh skandal 1MDB di mana Najib adalah orang nombor satunya. Ia telah diakui oleh berbagai-bagai pihak berkuasa di merata dunia macam Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) sebagai skandal pencurian duit negara terbesar pernah berlaku dalam sejarah.
Walaupun di Malaysia Najib masih bebas dan tali barutnya, Jho Low masih belum dapat ditangkap, di banyak negara penjenayah 1MDB telah dipenjara atau didenda.
Bukan itu saja, duit curi itu telah mula dikembalikan kepada kita. Kalau itu duit yang mereka dapat secara halal, tentulah Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland tak boleh rampas. Jadi jelaslah yang duit itu duit curi 1MDB.
Ikut laporan Bernama yang petik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, pada 12 Julai lalu, sejumlah RM925.1 juta duit yang bersangkut paut dengan 1MDB telah dipulangkan kepada kerajaan Malaysia.
Daripada jumlah itu, RM805.8 juta dipulangkan oleh Amerika Syarikat hasil lelong hotel Park Lane (RM567.8 juta) dan RM238 juta dari syarikat filem Red Granite Pictures.
Ikut berita, Park Lane di New York itu dibeli oleh Jho Low dan Red Granite Pictures adalah perkongsian yang babitkan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz, iaitu anak Datin Seri Rosmah Mansor dengan suami pertamanya.
Singapura pulangkan RM92.3 juta sementara baki RM27 juta dari punca tempatan. Banyak lagi duit curi 1MDB yang sedang kita tuntut melalui mahkamah dan rundingan.
Contohnya kita sudah kemuka saman terhadap bank pelaburan Amerika, Goldman Sachs, yang Najib guna untuk berhutang.
Kerajaan kita dan penyiasat Amerika anggar kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.7 bilion) duit 1MDB telah disonglap secara sistematik.
Sekarang pihak Goldman Sachs hendak berunding untuk selesai luar mahkamah. Boleh jadi mereka rasa kes mereka tidak kuat atau mereka hendak elak malu. Mereka pun sudah pecat banyak pegawai yang terbabit dengan 1MDB.
Inilah keanehannya. Banyak orang kita selalu kata Amerika kafir dan sokong Israel. Tapi nampaknya kafir ini lebih hormat undang-undang dan bertimbang rasa daripada orang kita sendiri.
Kalau syarikat dan orang negara mereka tipu, mereka tetap akan ambil tindakan walaupun yang kena tipu itu negara Islam macam kita.
Di negara kita yang kononnya Islam, orang yang rosakkan negara masih disanjung sebagai “bossku”. Ini adalah kerana banyak orang Islam di Malaysia ini Muslim tapi tidak Mukmin.
Bukan SRC dan 1MDB saja. Dalam urusan lain pun banyak rasuah dan pecah amanah. Kita sudah tengok macam mana Najib dan kerajaan BN manipulasi projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan saluran gas Sabah.
Ini terbukti apabila kontraktor dari negara China setuju kurangkan kos ECRL sebanyak 30 peratus atau RM21.5 bilion dengan perubahan kecil kepada spesifikasi.
Sekarang kita akan berunding sekali lagi dengan China bagi dapatkan balik duit yang kerajaan Najib bayar untuk projek paip gas Sabah.
Projek itu berharga RM9.3 bilion tapi RM8.3 bilion sudah dibayar kepada kontraktor China walaupun baru 13 peratus dilaksanakan.
Semua ini dipercayai tindakan terdesak Najib untuk cari duit bayar hutang 1MDB. 1MDB tak mampu bayar balik hutang pasal sebahagian besar duitnya telah disonglap.
Bagi tahun 2019 dan 2020, sebanyak RM5.1 bilion terpaksa disediakan untuk bayar hutang 1MDB dan SRC. Itulah najis yang Najib tinggalkan kepada kita.
Jadi kalau kita ada otak dan peduli tentang maruah, kita wajib berfikir secara waras dan bertindak dengan tegas terhadap sesiapa saja yang mencuri dan merompak duit negara.
Kalau tidak, berhentilah bertempek sorak mengenai kesucian agama dan maruah bangsa. Buat malu saja.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!