Presiden Chile umum rombakan kerajaan
SANTIAGO - Presiden Chile, Sebastian Pinera semalam mengumumkan rombakan kerajaan besar-besaran, sehari selepas lebih sejuta penunjuk perasaan menuntut reformasi ekonomi dan politik.
"Saya meminta semua menteri meletak jawatan bagi membentuk kerajaan baharu dan menangani tuntutan penunjuk perasaan," katanya sambil menambah perintah darurat yang dikenakan sebelum ini akan ditamatkan sekiranya keadaan mengizinkan.
Kerajaan Chile berdepan cabaran getir menangani protes yang tercetus gara-gara kenaikan harga tambang perkhidmatan pengangkutan metro dan beberapa tuntutan lain termasuk peletakan jawatan Pinera.
Pinera yang memegang jawatan Presiden sejak Mac tahun lalu telah melakukan rombakan Kabinet sebanyak dua kali dalam tempoh 15 bulan, pada masa sama timbul kebimbangan berhubung pembangunan ekonomi yang perlahan dan kepimpinan beliau.
Selain itu, penunjuk perasaan turut menuntut agar Perlembagaan negara itu yang wujud sejak zaman pemerintahan Augusto Pinochet pada 1973 hingga 1990 diganti.
Kelmarin, lebih sejuta penunjuk perasaan berhimpun di Santiago dan beberapa bandar lain mewakili pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang politik.
Protes terbabit merupakan antara yang terbesar di negara yang dihuni 18 juta penduduk itu dan menurut polis, seramai 820,000 berhimpun di ibu negara Chile.
Kekecohan ganas yang berlarutan mengakibatkan kerosakan premis perniagaan dan sistem pengangkutan lumpuh selain rompakan yang berleluasa.
Sekurang-kurangnya 19 orang maut susulan kemelut politik terburuk sejak Chile kembali kepada demokrasi selepas pemerintahan diktator Pinochet. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!