‘Semua pakai baju, jaket dan topi awak’
KUALA LUMPUR - Isteri kepada pengarah filem, Firdaus Hanif mengharapkan keajaiban walaupun sudah 24 jam suaminya hilang dibawa arus Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang.
Menurut Farah Ahmad, 42, dia bersama tiga orang puteri mereka sudah berada di lokasi kejadian dengan memakai baju, jaket dan topi Firdaus sejak suaminya itu dilaporkan hilang kira-kira jam 2 petang semalam.
Firdaus, 43, yang juga dikenali sebagai Pitt Hanif merupakan anak kepada seniwati, Fauziah Nawi.
Menerusi beberapa perkongsian di akaun Instagram miliknya, Farah sentiasa berkongsi doa dan harapannya untuk melihat Pitt ditemui selamat.
"Pitt, nyawa awak (anak-anak) ada di sini menanti awak. Semua pakai baju, jaket dan topi awak.
"Teruskan berdoa, kekal positif dan berharap ada keajaiban yang berlaku. Hanya ALLAH SWT yang tahu. Kami perlukan awak, adiwira kami," tulisnya ringkas kira-kira jam 1 petang hari ini.
Malah Farah turut berkongsi beberapa gambar sejak petang semalam hingga lewat malam tadi dan turut berkongsi perkembangan sejak subuh pagi tadi.
Pitt Hanif yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Coast Guard dilaporkan keluar memancing bersama seorang sahabat, Sham Mokhtar.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, kejadian berlaku di Jambatan Gemuncur Kampung Mela, Kuala Lipis apabila bot fiber yang dinaiki mereka pecah akibat terlanggar tiang jambatan.
Kejadian berlaku ketika mereka memancing di sekitar sungai tersebut, bagaimanapun Sham sempat menyelamatkan diri manakala Pitt dihanyutkan arus deras.
ARTIKEL BERKAITAN: Operasi SAR Pitt Hanif sukar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!