Pitt mama minta maaf sebab....: Fauziah Nawi
"PITT mama minta maaf sebab tak dapat jaga Pitt macam mana yang mama janji dengan arwah baba," itu antara kata-kata yang dapat dilontarkan oleh seniwati Fauziah Nawi sebaik memberitahu tentang jenazah arwah anaknya, Mohd Firdaus Mohd Hanif atau lebih dikenali dengan panggilan Pitt Hanif yang sudah ditemui kira-kira jam 5 petang tadi.
Fauziah yang membuat siaran langsung menerusi akaun Facebook miliknya memberitahu Pitt, 43, telah dijumpai dalam keadaan yang elok.
"Saya ingin mengumumkan jenazah anak saya, Mohd Firdaus Mohd Hanif, atau lebih dikenali sebagai Pitt Hanif telah ditemui dengan keadaan yang sangat elok.
"Ini diberitahu oleh adik saya Mohd Fauzi Nawi yang berada di lokasi. Menurut adik, pihak yang menjumpai jenazah anak memberitahu, mereka tak pernah jumpa jenzah secantik itu walaupun telah berada di dalam air selama dua hari.
"InnaLillahiwainnailaihiraji'un, berakhir sudah hidup anak saya di usia 43 tahun" ujarnya yang tidak dapat menahan sebak dan air mata.
Malah Fauziah, 66, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan dan berusaha mencari anaknya yang lemas ketika memancing di Jambatan Gemuncur Kampung Mela, Kuala Lipis apabila bot fiber yang dinaiki mereka pecah akibat terlanggar tiang jambatan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pengarah filem Pitt Hanif ditemukan
Bagaimanapun Fauziah memohon maaf kerana tidak dapat menjawab mana-mana panggilan telefon.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan, yang berusaha mencari anak saya. Saya sangat berterima kasih.
"Saya minta maaf kerana tidak dapat menjawab panggilan telefon, jangan telefon dahulu, saya ada rumah.
"Jenazah kini berada di Hospital Kuala Lipis dan saya tidak pasti sama ada akan di bawa ke rumah saya di Taman Melati atau di bawa ke rumah besan, di mana arwah tinggal sebelum ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!