Norhizam cadang polis guna panggilan video waris dengan tahanan

Norhizam bersama Datuk Ayob Khan sedang berbincang sesuatu di IPK KL.
Norhizam bersama Datuk Ayob Khan sedang berbincang sesuatu di IPK KL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee mencadangkan polis menggunakan pendekatan panggilan video di antara waris dengan individu yang ditahan bagi memudahkan mereka berinteraksi.

Menurutnya, beliau kecewa apabila kepesatan teknologi tidak digunakan pihak berkuasa sedangkan ia memudahkan urusan kedua-dua pihak.

"Kepesatan teknologi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan bukan dengan kaedah lama.

"Sebagai contoh, polis menahan beberapa individu dari Melaka yang dikaitkan terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam), saya perlu menyewa MPV (kenderaan pelbagai guna) untuk membawa ahli keluarga mereka berjumpa dengan tahanan itu," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tadi.

Beliau berkata, waris keluarga ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak dan warga emas.

"Ia secara langsung menyukarkan perjalanan selain memerlukan kos disebabkan semua tahanan itu berada di Kuala Lumpur," katanya.

Norhizam berkata, polis mungkin boleh memberi tempoh tertentu seperti 10 minit untuk ahli keluarga mereka membuat panggilan video di balai polis berhampiran.

"Mereka (polis) boleh memantau selain waris mereka itu dapat melepaskan kerinduan.

Artikel Berkaitan:

"Pendekatan ini perlu diketengahkan dalam memudahkan urusan selain lebih bersesuaian dengan keadaan semasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!