Imam Perlis tamat kontrak, bukan dipecat
KANGAR - Umur melebihi 60 tahun menjadi faktor utama 25 imam di Perlis tidak disambungkan kontrak dan digantikan dengan imam yang lebih muda sejajar dengan hasrat negeri tersebut menuju negeri maju.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata semua imam yang dikatakan dipecat sebenarnya melebihi umur selain faktor-faktor masalah disiplin seperti tidak menghadiri kursus diwajibkan, tidak baca teks khutbah dibekalkan dan politik kepartian.
"Dalam enakmen tidak seorang pun pegawai masjid yang dilantik atau disifatkan dilantik di bawah seksyen 100 (5) boleh terus memegang jawatan itu selepas mencapai umur 60 tahun.
“Saya ada tanya balik punca-puncanya dan dimaklumkan bahawa imam-imam ini sudah berusia 61 hingga 88 tahun. Pada asasnya apabila mencapai umur 60 tahun boleh ditamatkan namun ada juga boleh dilanjutkan atas pertimbangan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)," katanya.
Beliau mengulas isu 25 imam masjid yang didakwa dipecat pada kuliah Maghrib di Masjid Alwi yang turut disiar secara langsung di Facebook di sini, hari ini.
Menurutnya, peluang perlu diberikan kepada anak-anak muda terutama tahfiz atau penghafal al-Quran untuk berkhidmat di masjid di negeri ini.
“Sebab apa hendak ditamatkan kerana masih boleh berkhidmat lagi? Hal ini terpulang kepada budi bicara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
"Saya hendak cakap, kita bagilah peluang kepada anak-anak muda yang belajar tahfiz dan hafal al-Quran mengambil tempat pula,” katanya.
Mohd Asri berkata, perkara sama juga akan menyusul kepada imam-imam lain yang melebihi umur 60 tahun dan usaha itu akan dilakukan secara berperingkat.
“Bagilah peluang kepada orang muda, yang baru. Kita (imam) dah lama, kadang-kadang kita ponteng, saya tak kata semua tapi macam-macam kes ada jadi berilah peluang kepada orang muda pula.
“Jangan kata (baca doa) qunut tak qunut, yang tak (baca doa) qunut pun diberhentikan. Tamatkan khidmat imam yang sudah sampai tempohnya bukan satu perkara yang pelik,” katanya.
Terdahulu, tular surat pemecatan 25 imam kariah sekitar Perlis, manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan berkuat kuasa Selasa lalu.
Surat bertarikh 31 Disember 2018 itu dikeluarkan JAIPs tanpa menyatakan sebab pemecatan bermula pada 1 Januari 2019, malah tiada nombor rujukan pada kurungan bahagian atas surat.
Antara yang dipecat ialah imam Masjid Batu 2, Masjid Kampung Guar Syed Alwi, Masjid Jalan Santan, Masjid Telok Jambu dan Masjid Padang Katong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!