Dr Mahathir harap lebih banyak kerjasama bersama Turkmenistan

Dr Mahathir bersama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov (kanan) bercakap pada sesi bersama media dan mesyuarat dua hala pada Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden sempena lawatan rasminya selama dua hari ke Ashgabat Turkmenistan hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir bersama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov (kanan) bercakap pada sesi bersama media dan mesyuarat dua hala pada Majlis Sambutan Rasmi di Istana Presiden sempena lawatan rasminya selama dua hari ke Ashgabat Turkmenistan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

ASHGABAT - Tun Dr Mahathir Mohamad berharap lawatannya ke Turkmenistan akan menghasilkan lebih banyak interaksi dan kerjasama antara Malaysia dan Turkmenistan.

Perdana menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan bermula hari ini, berkata kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam banyak bidang untuk membangunkan negara masing-masing.

Sebagai contoh, kata beliau, Malaysia kini beralih dari negara yang terlibat dalam industri automotif ke industri aeroangkasa.

"Industri Malaysia kini mengambil kesempatan daripada rantaian bekalan untuk industri lain... industri canggih. Kami kini beralih dari industri automotif ke industri aeroangkasa. Kami terlibat dalam banyak kerja kejuruteraan untuk aeroangkasa.

"Ini juga boleh kami bertukar kerana industri aeroangkasa memerlukan rantaian bekalan yang sangat besar. Enjin pesawat mempunyai kira-kira 30,000 bahagian dan bahagian-bahagiannya tidak boleh dihasilkan oleh negara yang mengeluarkan enjin.

"Mereka perlu mendapatkan bahagian berkenaan dari tempat lain dan ini memberi peluang kepada banyak negara untuk ke negara ini pada tahap pembuatan komponen. Oleh itu, kami ingin melihat bagaimana boleh bekerjasama dengan Turkmenistan dalam bidang itu," katanya dalam kenyataan media bersama pada akhir pertemuan dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov di Istana Presiden di sini hari ini.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul.

Mengenai penglibatan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di Turkmenistan, Dr Mahathir berharap syarikat minyak negara itu akan terus terlibat secara aktif dalam industri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pada 1996, Petronas memperoleh lesen Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) selama 32 tahun bagi penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di kawasan luar pesisir Blok-1 di Laut Caspian.

Turkmenistan mempunyai rizab gas asli keempat terbesar di dunia selepas Rusia, Iran dan Qatar, dengan rizab terbukti dianggarkan sebanyak 20 trilion meter padu.

Bagaimanapun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak simpanan gas asli di negara ini masih belum diterokai.

"Kami juga sedang mencari kerjasama baru... Turkmenistan menghasilkan banyak kapas dan Malaysia berhasrat meninjau industri ini. Ini tidak pernah dipromosikan di Malaysia sebelum ini," katanya.

Dr Mahathir juga memberi jaminan bahawa pelajar Turkmenistan yang belajar di Malaysia tidak akan terdedah kepada budaya yang tidak baik seperti di beberapa negara lain.

Beliau berkata, pelajar juga boleh berfungsi sebagai penghubung dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Berdimuhamedov berkata, perkongsian dengan Malaysia adalah penting dan menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra.

"Kami akan terus membangunkan hubungan dua hala. Tun Mahathir sejak awal kemerdekaan telah banyak menyumbang kepada pembangunan kami. Kami mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya dan kepada negaranya yang mesra," katanya.

Malam ini, Dr Mahathir menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 80 rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Turkmenistan.

Perdana menteri dan isteri dijangka berlepas ke Malaysia esok. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!