Konsep keseimbangan kerja, keluarga
KOS sara hidup hari demi hari meningkat. Dalam keadaan ini di mana setiap isi rumah hanya mempunyai seorang pencari rezeki tidak lagi boleh diamalkan.
Peningkatan jumlah pasangan suami dan isteri yang bekerja di Malaysia adalah suatu situasi yang diterima oleh masyarakat pada masa kini.
Walaupun begitu, kesibukan pasangan suami isteri bekerja kerap-kali menimbulkan isu keseimbangan kerja dan keluarga.
Berada di tempat kerja menyebabkan mereka terfikir akan kebajikan anak-anak di rumah, berada di rumah pula membuatkan mereka terkenang-kenang kepada kerja yang mungkin belum langsai atau yang sekonyong-konyong tiba.
Perkembangan teknologi masa kini membolehkan individu bekerja bila-bila masa di mana jua dan tanpa henti. Trend kerja terkini dan masa hadapan yang beralih kepada teknologi automasi telah menyebabkan masa bekerja semakin panjang.
Kita bekerja 24/7. Pekerja kini boleh menyambung kerja di rumah bagi mana-mana tugas yang tidak sempat diselesaikan ketika di pejabat.
Majikan menghubungi pekerja dan memberi arahan selepas waktu pejabat atau sewaktu pekerja bercuti adalah sesuatu yang biasa berlaku di kebanyakan negara termasuk Malaysia.
Bekerja secara 24/7 sudah pasti menimbulkan isu keseimbangan kerja dan keluarga. Ibu bapa perlu terus bekerja keras mencari wang untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik.
Masa berkualiti bersama anak-anak pula semakin terhad. Walaupun tinggal sebumbung, mereka kini sukar bercakap sesama sendiri. Masa bersama anak-anak terabai.
Keadaan ini menjadikan anak-anak dan pasangan membawa diri dan berasa jauh hati. Adalah tidak mustahil jika pasangan dan anak-anak mula mencari teman pengganti seperti bahan terlarang, gajet dan media sosial apabila hal ini terjadi.
Sejujurnya, mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga adalah perkara yang paling sukar dilakukan dalam kehidupan. Keupayaan seseorang individu menikmati empat aspek kehidupannya iaitu kerjaya, keluarga, rakan-rakan dan diri sendiri adalah sesuatu yang subjektif.
Namun begitu, apabila berdepan realiti dan terpaksa membuat pilihan antara kerja dan keluarga akan berlaku tiga situasi berbeza. Pertama, ada individu memilih kerja berbanding keluarga.
Kedua, ada yang mengutamakan keluarga. Yang terakhir, ingin menjadi ideal dan mengakui bahawa mereka mementingkan kedua-duanya.
Hakikatnya, melihat kepada perkembangan persekitaran kehidupan masa kini, adakalanya penulis berasakan keseimbangan kerja dan keluarga adalah satu mitos semata-mata tetapi tidak mustahil untuk dicapai jika kena gayanya.
Keseimbangan mutlak
Justeru, bagaimanakah keseimbangan kerja dan keluarga boleh dicapai? Mengidamkan keseimbangan mutlak antara kerja dan keluarga seperti memberi tumpuan dan masa sama banyak antara kedua-duanya adalah tidak realistik.
Bagi penulis, waktu bekerja 8 hingga 10 jam sehari yang dihabiskan untuk bekerja akan seimbang apabila individu memperuntukkan waktu berkualiti bersama keluarga.
Walaupun setengah jam diperuntukkan bagi makan malam bersama keluarga tanpa gangguan gajet dan seumpamanya mampu menyeimbangkan kerja dan keluarga.
Percutian sehari dalam sebulan yang bebas daripada beban kerja dan pengaruh teknologi juga mampu mencetuskan keeratan hubungan kekeluargaan.
Pendek kata, kita tidak mencari kesamaan dalam agihan masa dan tumpuan tetapi kita mencari keharmonian antara kerja dan keluarga. Berbekalkan keharmonian yang dicapai itu, kesejahteraan kerja dan keluarga akan timbul dan keseimbangan yang diidam-idamkan hadir dengan sendirinya.
Pencapaian keseimbangan kerja dan keluarga berlaku apabila individu memperuntukkan sumber mental, fizikal dan emosi dengan cara yang boleh memenuhi matlamat peribadi dan profesional.
Maksudnya di sini, bekerjalah bersungguh-sungguh di tempat kerja agar waktu pejabat itu digunakan sepenuhnya untuk melaksana tugas hakiki dan amanah yang diberikan oleh organisasi sebaliknya bila berada di rumah, berilah perhatian dan belaian kepada orang tersayang.
Harus juga diingat bahawa wang bukanlah segala-galanya dalam hidup. Kebahagiaan, kesihatan, ketenangan dan kasih sayang tidak boleh dibeli dengan wang.
Maka, berpada-padalah apabila mengabdikan diri kepada pekerjaan demi ringgit dan sen. Carilah titik keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kehidupan bekerjaya.
***Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul ialah Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!