Kerajaan perlu cari dalang sebar komik propaganda

Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang berunsur propaganda telah dilarang di negara ini. Gambar kecil: Rusdi
Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' yang berunsur propaganda telah dilarang di negara ini. Gambar kecil: Rusdi
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan perlu mencari dalang sebenar pengedaran komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' kerana cuba menjadikan remaja di alam persekolahan sebagai sasaran.

Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, kerajaan perlu mencari siapa yang bertanggungjawab dan tidak sesekali mudah melupakan isu ini kerana ia memberi kesan yang cukup besar kepada generasi baharu.

"Kerajaan kena tegas dalam mengambil tindakan terhadap pihak yang berkenaan. Mungkin ada agenda lain di sebalik komik ini.

"Jangan berlembut dalam menyebarkan fahaman komunis kerana negara kita bukan mengamalkan fahaman itu tapi kita adalah negara demokrasi," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, bagaimana pihak yang tidak bertanggungjawab itu menjadikan pelajar sebagai sasaran sedangkan mereka bukanlah individu yang dekat dengan dunia politik.

Beliau berkata, dalam keadaan suasana politik yang kurang baik, tidak sesuai komik ini diterbitkan kerana boleh mengeruhkan hubungan kaum di negara ini.

"Kalau tidak kena caranya, ia boleh memecahbelahkan kaum yang selama ini berada dalam keadaan baik, aman dan harmoni.

"Masalahnya ialah kena tanya apa tindakan kementerian, mustahil mereka tidak tahu mengenai penyebaran komik ini. Apa yang menteri dan pegawai berkaitan buat.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa apabila heboh baru mahu ambil tindakan. Sepatutnya ia dicegah dan dihalang sebelum komik ini tersebar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!