Jenazah pengarah filem dibawa ke Kuala Lumpur
KUANTAN - Jenazah pengarah filem mangsa kejadian lemas di Sungai Jelai, Kuala Lipis, dituntut keluarganya selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kuala Lipis, kira-kira pukul 10.30 malam ini.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azli Mohd Noor berkata jenazah Firdaus Hanif, 43, dibawa keluarganya ke Kuala Lumpur bagi urusan pengebumian, selepas dituntut.
"Keputusan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Jenazah mangsa ditemui terapung oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bukit Angin, terapung 500 meter dari lokasi kejadian pada 4.25 petang tadi, selepas operasi mencari dan menyelamatnya masuk hari kedua pada hari ini.
Semalam, mangsa dilaporkan hilang berhampiran Jambatan Gemunchur di Mela selepas bot fiber dinaikinya bersama rakan untuk memancing, terbalik dan rakannya Sham Mokhtar, 38, dilaporkan berjaya berenang menyelamatkan diri dalam kejadian pada pukul 1 tengah hari itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat pengarah filem Pitt Hanif ditemukan
Anak kepada pelakon Fauziah Nawi yang juga dikenali sebagai Pitt itu, difahamkan berada di daerah itu bagi menyiapkan penggambaran filem ‘Coast Guard’ yang bermula kira-kira dua bulan lalu.
Sementara itu isteri Allahyarham, Farah Ahmad, 42, berkata Allahyarham sedang merancang percutian baginya dan tiga orang anaknya, sebelum kejadian itu berlaku.
"Dia meminta saya memeriksa tiket kapal terbang dan lokasi percutian, kerana ingin membawa kami bercuti di luar negara.
"Dia juga sejak akhir-akhir ini sering berkata bahawa dia merindui anak-anaknya dan meminta kami sekeluarga menunggu dirinya pulang ke rumah,” katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!