Lelaki lumpuh usahakan pembiakan ikan hiasan
KOTA BHARU - Melangkah masuk ke laman belakang rumah milik seorang pemuda kurang upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan di Kampung Kedondong, Sering di sini mengundang rasa tenang dan nyaman
Lanskap mini yang dibina itu lebih indah apabila ruang berkenaan menjadi tempat penternakan ribuan ikan hiasan jenis ikan laga (betta); gapi, platy dan molly.
Usaha Nik Abdul Muiz Nik Man, 29, itu pada mulanya sebagai hobi tetapi lama kelamaan menjadi satu keseronokan selepas melihat ribuan anak ikan yang terhasil dan menjadi sumber pendapatan utama lima bulan lalu.
Nik Abdul Muiz berkata, sejak kecil dia gembira melihat ikan pelbagai warna itu berenang itu terutama spesies laga yang mempamerkan kecantikan ekor serta siripnya sebelum memperoleh idea membiakkan induk jantan dan betina ikan hiasan tersebut.
“Selepas 21 hingga 30 hari proses pembiakan induk betina akan menetaskan 20 hingga ratusan ekor anak yang cantik terutama pada kelahiran pertama.
“Saya sangat suka apabila tengok anak-anak ikan ini menetas dan jinak di tangan. Ikan-ikan ini ibarat anak-anak saya yang sangat saya sayang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Menurutnya, dia mula memelihara 21 ekor ikan jantan dan 29 betina yang dibeli daripada seorang penternak dari Perupok, Bachok.
“Ikan laga memerlukan penjagaan lebih rapi berbanding campuran jenis ikan gapi atau dipanggil gapi rojak yang lebih tahan lasak. Ikan-ikan ini diberi makan palet ikan tiga kali sehari manakala air pula juga perlu dicuci dua hari sekali.
“Kutu air juga berfungsi menjaga kebersihan air dan menjadi makanan kepada ikan tetapi kuantitinya perlu dikawal,” katanya.
Katanya, ikan berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada penggemarnya untuk dijadikan haiwan ternakan.
“Jenis ikan gapi rojak dijual dengan harga serendah RM1 seekor dan paling mahal RM30 hingga RM40 jenis gapi big ear red tail.
“Jenis laga pula dijual serendah RM50 hingga RM80 seekor manakala molly pula dijual dengan harga RM5 sepasang dan kesemua harga bergantung kepada saiz, bentuk, warna dan corak ikan tersebut,” katanya.
Nik Abdul Muiz berkata, usaha penternakan ikan hiasan itu hanya menggunakan modal sendiri berjumlah RM1,000 dan sudah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk OKU bekerja sebanyak RM400 sebulan pada Mei lalu.
“Pendapatan ini tidak menentu tetapi saya akan tetap berusaha walaupun dalam keadaan tidak mampu berjalan kerana segan mengharapkan ihsan orang. Saya akan berusaha selagi mampu,” katanya.
Bercerita mengenai penyakitnya, Nik Abdul Muiz berkata, dia disahkan menghidap T9 Asia Sea Parapleasure sejak dua tahun lalu akibat jangkitan kuman yang menyerang saraf tunjang.
“Ketika itu saya baru sahaja menerima Ijazah Seni Bina dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada Majlis Konvokesyen UKM2016 dan sempat menghadiri temuduga kerja.
“Tidak lama selepas itu saya demam berulang sehingga kuman menyerang saraf utama. Sekarang saya tidak mampu berjalan, buta mata kanan dan hanya mampu menggunakan kerusi roda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!