Jangan pandang ekonomi gig dari sudut negatif
ADA pihak memberikan label negatif terhadap ekonomi gig dengan anggapan bahawa perbuatan melakukan kerja sambilan tidak baik untuk rakyat terutama generasi muda.
Antara peluang pekerjaan yang popular dalam era ekonomi gig ini seperti pemandu teksi e-hailing dan penghantar makanan serta barangan.
Peluang pekerjaan yang tumbuh bagai cendawan ini turut dicetuskan oleh perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Ini membuktikan bahawa ada banyak pihak yang meraih peluang daripada perkembangan baharu dalam ekonomi digital. Apa salahnya ada antara rakyat kita terlibat dalam ekonomi gig?
Sekurang-kurangnya mereka ini yang terdiri daripada golongan muda mempunyai pekerjaan.Mereka berusaha untuk mencari wang daripada terlibat dengan aktiviti tidak berfaedah termasuk jenayah.
Selain kemunculan ekonomi gig membuka lapangan pekerjaan baharu yang dapat meningkatkan pendapatan isi rumah, ia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing. Kita percaya, tidak ramai akan menganggap bahawa mereka akan selamanya terlibat dengan ekonomi gig.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan RM500 juta dalam Belanjawan 2020 untuk mendigitalkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memberdayakan komuniti usahawan yang melanggani perkhidmatan seperti sistem tempat jualan elektronik (e-POS), penyelesaian perancangan penyumberan perusahaan (ERP) dan sistem pembayaran gaji elektronik.
PKS mewakili 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti keusahawanan di negara ini pada tahun 2018. Bagaimanapun, PKS dan perniagaan mikro hanya menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Sumbangan itu masih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia (60.6 peratus), Jepun (54.5 peratus) dan Thailand (42.3 peratus), kata beliau dan menurutnya berdasarkan data tersebut masih ada ruang yang luas untuk menjana perkembangan sektor keusahawanan.
Sehubungan itu, kerajaan perlu menggunakan kesempatan tersebut untuk menyuntik dinamisme baharu yang mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!