Pakai topi keledar hantar anak ke sekolah dipandang enteng
MELAKA TENGAH - Alasan menunggang motosikal hanya pada jarak dekat antara selalu kedengaran apabila ditanya orang ramai di negeri ini mengapa tidak mengenakan topi keledar apabila menghantar anak mereka ke sekolah.
Bagaimanapun, alasan itu adalah sesuatu yang langsung tidak dapat diterima menurut Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab kerana kemalangan terjadi tanpa mengira jarak perjalanan.
Mohd Sofi berkata, pemakaian alat keselamatan itu masih dipandang ringan kerana berdasarkan pemerhatiannya masih ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah tanpa memakai topi keledar, malah anak mereka turut tidak mengenakan alat tersebut.
"Kita tahu bahawa pada awal pagi dan petang iaitu masa penghantaran dan mengambil pulang anak-anak di sekolah oleh para ibu bapa, ketika inilah waktu yang sangat sibuk dan sudah tentu kebarangkalian berlaku kemalangan itu lebih tinggi.
"Berdasarkan statistik daripada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia seramai 4,128 penunggang dan pembonceng meninggal dunia, yang tertinggi daripada keseluruhan 6,284 pengguna jalan raya yang meninggal dunia tahun lepas," katanya.
Menurutnya, statistik jabatan itu juga 944 penunggang dan pembonceng meninggal dunia, juga tertinggi daripada keseluruhan 1,483 pengguna jalan raya yang meninggal dunia, untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, lebih mendukacitakan pula terdapat ibu bapa serta penjaga yang memakai topi keledar dengan sempurna tetapi anak yang dibonceng dibiarkan tanpa topi keledar.
"Pada pandangan saya ini satu tindakan amat dikesali kerana seolah-olah para ibu bapa juga penjaga kepada pelajar ini mementingkan diri sendiri dan tidak mementingkan keselamatan anak-anak mereka," katanya.
Mohd Sofi berkata, ibu bapa mengambil risiko amat besar dengan tidak memakaikan topi keledar kepada anak-anak kerana topi keledar adalah alat yang penting untuk mengurangkan risiko kecederaan apabila berlaku kemalangan dan hentakan di kepala daripada menjadi lebih serius.
"Jika bahagian di kepala ini tidak dijaga dan terdedah dengan hentakan kemungkinan besar boleh berlaku kerosakan saraf dan berisiko mengakibatkan kematian. Saya mengharapkan ibu bapa supaya sedar dan mengambil berat akan kepentingan memakai topi keledar ini terutama kepada anak-anak," katanya.
Menurutnya, pihak sekolah diharap dapat memberi peringatan kepada ibu bapa serta pelajar mereka tentang kepentingan topi keledar, selain cadangan kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) untuk menggiatkan semula kempen pemakaian topi keledar ke sekolah.
Sementara itu, petugas pentadbiran di sebuah jabatan kerajaan di sini Mohd Hanafiah Mohd Salim, 46, berkata, tindakan ibu bapa tidak memakai topi keledar ketika menghantar dan menjemput anak mereka ke sekolah itu sudah bagaikan suatu kebiasaan.
"Semua tahu pakai topi keledar itu peraturan jalan raya tetapi bila hari-hari buat ramai tidak terasa itu peraturan, ditambah penguatkuasaan yang saya lihat agak lembut. Buat sekatan jalan raya depan sekolah, beri peringatan tegas kepada mereka," kata bapa dua anak bersekolah di Ayer Keroh di sini.
Pensyarah komunikasi di sebuah kolej swasta di sini Sarimah Ismail, 42, berkata, terdapat juga ibu bapa yang memakaikan anak mereka topi keledar yang tidak bersesuaian dengan saiz kepala anak mereka yang mengundang kemalangan.
"Apabila berlaku kemalangan, topi keledar terlalu besar itu tercabut dan gagal lindungi kepala anak-anak. Ada juga yang pakaikan topi keledar terlalu usang, bila kemalangan tali pengikat putus atau topi keledar itu pecah yang berbahaya kepada anak kita," kata ibu tiga anak bersekolah di Bukit Katil di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!