'Saya tidak kisah mati dalam kontena'

Foto Sky News
Foto Sky News
A
A
A

LONDON - "Saya tidak kisah kalau saya mati dalam lori kontena," demikian luahan seorang lelaki Vietnam apabila berjaya mengharungi perjalanan yang menggerunkan dan kini tinggal secara haram di sini.

Lelaki berusia 20 tahun itu terpaksa melakukan tindakan itu kerana dia tiada pilihan lain memandangkan kehidupan di negaranya sungguh teruk kerana tiada pekerjaan.

"Kehidupan di Vietnam sangat susah, saya nekad lari ke tempat lain dan tidak mengambil peduli jika saya mati ketika dalam perjalanan ke sini.

"Saya berasal dari Vietnam Utara, tiba di Britain pada 2017 dengan bersembunyi di belakang lori dan tinggal secara haram tanpa dokumen rasmi," dedahnya kepada Sky News.

Katanya, bermigrasi di sini adalah pilihannya meskipun mengetahui ia berisiko tinggi.

"Saya sedih untuk pergi tetapi saya tidak mempunyai pilihan dan perlu pergi, saya perlu datang ke sini untuk menjalani kehidupan baharu.

"Ketika saya meninggalkan Vietnam, saya tidak peduli dengan kematian, saya akan mati di Vietnam jika tidak datang ke sini, bila berjaya tiba saya rasa itu sangat berbaloi," katanya.

Dia yang kini bekerja di sebuah restoran sebagai tukang masak berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap berita mengenai 39 orang ditemui mati di sebuah kontena sejuk beku di Essex.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu trak bawa 39 mayat didakwa

Difahamkan, Amerika Syarikat adalah 'rumah' kepada beribu-ribu pendatang asing yang mahu mencari wang bagi menyara keluarga.

Namun mereka perlu mengharungi pelbagai dugaan sebelum tiba selamat di sini dan kebanyakan mereka bekerja di bar dan restoran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!