UniKL, THT berentap separuh akhir Piala Tan Sri P Alagendra

Pemain UniKL Timothy Deavin (kiri) mengasak pemain TNB Thunderbolts Muhammad Nursyahmi Zulkifli (tengah) dalam perlawanan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
Pemain UniKL Timothy Deavin (kiri) mengasak pemain TNB Thunderbolts Muhammad Nursyahmi Zulkifli (tengah) dalam perlawanan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra 2019 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

UNIVERSITI Kuala Lumpur (UniKL) membuka tirai 2019 dengan langkah kanan selepas mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) Thunderbolts pada aksi suku akhir Piala Tan Sri P Alagendra 2019 di sini, hari ini.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata permulaan positif itu amat diperlukan pasukan bagi menempuh saingan lebih mencabar sepanjang tahun ini termasuk Liga Hoki Malaysia (LHM) yang akan bermula minggu depan.

Beliau bagaimanapun mengakui saingan Piala Tan Sri P Alagendra edisi kali ini sedikit sukar apabila beberapa pemain pasukannya belum melaporkan diri.

“Kita turun hari ini dengan jumlah 15 pemain dan salah seorang pemain mengalami kecederaan saat akhir, jadi konsep permainan hari ini adalah mengawal permainan sebelum menjaringkan gol menerusi peluang yang dicipta.

“Dua suku pertama kami bermain dengan baik dan berjaya mendahului 4-0 manakala dua suku terakhir kita dapat lihat pemain mula keletihan yang menjejaskan disiplin di atas padang,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, dua daripada empat gol UniKL adalah hasil pukulan sudut penalti oleh Muhammad Najmi Farizal Jazlan pada minit ketujuh dan Muhammad Razie Abd Rahim (minit ke-28) sementara dua gol padang disumbangkan Muhammad Farhan Mohamad Zain (minit ke-10) dan Muhammad Hafiz Zainol (minit ke-29).

Sementara gol saguhati TNB Thunderbolts dijaringkan Muhammad Aminudin Mohd Zain berbaki enam minit sebelum masa penuh.

Dalam pada itu, menanti UniKL di separuh akhir yang dijadual berlangsung esok adalah Terengganu Hockey Team (THT) yang menewaskan Nurinsafi 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Satu lagi aksi separuh akhir esok akan menyaksikan pertembungan di antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mendapat ‘bye’ dan Maybank yang mengatasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2-1 dalam penentuan pukulan penalti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!