Aplikasi myCuaca bantu persediaan
SHAH ALAM - Aplikasi myCuaca membantu orang ramai membuat persediaan menghadapi keadaan cuaca yang tidak menentu.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, aplikasi berkenaan turut memaklumkan amaran cuaca dan ribut petir.
"Aplikasi itu memaklumkan ribut petir setiap setengah jam hingga tiga jam awal. Amaran ribut petir tak boleh dikeluarkan lama sebab hayatnya pendek iaitu dalam tempoh tiga jam. Bagaimanapun, hujan perlu dipantau untuk tahu berapa lebatnya," katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa bersedia bagi berdepan sebarang kemungkinan bencana berdasarkan perkembangan cuaca di seluruh negara ketika ini.
Katanya, cuaca memasuki Monsun Timur Laut pada awal Oktober sehingga November dan negeri di Pantai Barat mengalami hujan lebat pada sebelah petang dan awal malam.
Menurutnya, hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat selain ribut petir yang disebabkan angin dari Timur Laut.
"Ini perkara biasa dan kita memang jangka Pantai Barat bagi Oktober hingga November agak lembap dan banjir kilat kerap berlaku.
"Pantai Timur akan mengalami hujan di sebelah pagi pada pertengahan November. Episod hujan lebat ini berterusan. Kita jangka empat hingga enam kali hujan seperti itu berlaku.
"Kemungkinan biasa berlaku di Kelantan dan Terengganu mulai November hingga Disembar manakala di Pahang dan Johor hujan pada Disember hingga awal Januari. Sabah dan Sarawak pula pada awal Januari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!