Bufet makan tengah hari serendah RM7

MOHD NAUFAL menunjukkan sebahagian set hidangan tengah hari di Food Monger, Cyberjaya.
MOHD NAUFAL menunjukkan sebahagian set hidangan tengah hari di Food Monger, Cyberjaya.
A
A
A

FOOD Monger yang terletak di Tamarind Square, Cyberjaya membuktikan kafe hipster juga ideal dijadikan ‘port lunch’ untuk menikmati sajian kampung yang menyelerakan.

Inisiatif tersebut sekali gus mengetepikan persepsi pengunjung bahawa kafe konsep hipster hanya menawarkan menu ala Barat, snek ataupun finger food.

Menurut Pemilik Food Monger, Mohd Naufal Nafis, Lunchion Food Monger diperkenalkan apabila mendapati corak pemakanan rakyat Malaysia yang lebih gemar menjamu selera nasi campur dan lauk kampung pada waktu makan tengah hari.

"Justeru, memahami situasi itu kami di Food Monger menawarkan set makan tengah hari serendah RM7. Bagi set tersebut pelanggan akan mendapat sepinggan nasi putih, satu jenis lauk dan minuman (teh o atau sirap).

"Dari segi lauk-pauk pula, pelanggan bebas memilih menu kegemaran. Kualiti dan rasa masakan kami dijamin kerana ia disediakan oleh barisan cef terlatih dan profesional,” jelas beliau ketika ditemui Femina di Food Monger, Cyberjaya baru-baru ini.

Tambah beliau, selain ulam-ulaman, kubis goreng dan sambal ikan pelaling restorannya turut menawarkan sajian masak lemak ikan masin, ayam rebung masak lemak, sambal petai udang, sambal tempoyak ikan bilis petai dan ayam kampung goreng.

Ia termasuk sayur turi cendawan, ikan kembung goreng, sawi masak pak choi, sambal belacan dan bermacam-macam lagi.

Bicara lanjut, Mohd Naufal turut memberitahu, bagi mempelbagaikan variasi hidangan para pelanggan sesi Lunchion Food Monger juga menawarkan set nasi bersama menu istimewa.

Artikel Berkaitan:

Set berkenaan ialah asam pedas ikan kembung Melaka, gulai ikan kembung Kedah, nasi ayam penyet Food Monger, nasi lemak ayam dan nasi ayam Food Monger.

"Hidangan asam pedas ikan kembung Melaka dan gulai ikan kembung Kedah adalah simbolik negeri kelahiran ibu, Alor Setar, Kedah manakala ayah pula dari Merlimau, Melaka.

"Misalnya, di Kedah gulai ikan kembung adalah antara menu paling popular dijual dan disajikan. Kemudian, saya bawakan keaslian rasa sajian berkenaan di Food Monger. Lebih istimewa, sajian itu dihasilkan mengikut resipi air tangan ibu,” jelas beliau.

Katanya lagi, set istimewa itu dijual pada harga RM12 sepinggan dan minuman diberikan secara percuma.

Sementara itu, pada sebelah malam pula, Food Monger yang direka dalam konsep food court menawarkan seleksi makanan lain.

Restoran seluas 4,000 kaki persegi dan boleh memuatkan 200 pelanggan pada dalam satu masa itu antaranya menyediakan menu pasta, sate, kentang goreng keju, nasi goreng udang karang, mi keren dan ayam goreng.

Seleksi makanan itu boleh dibeli pada kumpulan vendor yang beroperasi di gerai-gerai kecil dalam Food Monger.

ANEKDOT

Food Monger

Lokasi: C-01-03, Tamarind Square, Persiaran Multimedia, 63000, Cyberjaya, Selangor

Masa operasi menu tengah hari: 11 pagi hingga 5 petang

Harga:

- Sajian tengah hari bermula RM7

- Set Nasi Gulai Ikan Kembung Kedah RM12

- Set Asam Pedas Ikan Kembung Melaka RM12

- Set Nasi Ayam Food Monger RM12

- Set Nasi Lemak Ayam Special RM12

- Set Nasi Ayam Penyet RM12

Instagram: @foodmonger_my

Facebook: foodmongerMalaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!