Lelaki Albino berdepan pembuli body shaming dalam program televisyen

Paparan Azfar (kanan) bila bertemu dengan Shazwan di program bual bicara hari ini.
Paparan Azfar (kanan) bila bertemu dengan Shazwan di program bual bicara hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu 'body shaming' atau memperkecilkan seseorang berdasarkan rupa fizikal menjadi bualan hangat netizen susulan kenyataan berani penghidap Albino, Azfar Firdaus 'menyerang' pembulinya secara langsung dalam program bual bicara di sebuah stesen televisyen tempatan.

Model berumur 25 tahun itu pernah dipersendakan dan menjadi mangsa buli siber lelaki dikenali Shazwan dan kebetulan kedua-duanya termasuk pelakon dan juruhebah Zulin Aziz diundang secara bersama dalam program tersebut untuk mengupas isu buli siber dengan topik 'Hapuskan Sindir Badan, 'Bodyshaming' tak kelakar'.

Ketika pengacara program bual bicara itu meminta Azfar memberi komen bagaimana dia berdepan situasi dikecam netizen, malah menjadi mangsa buli siber, Azfar yang kebetulan duduk bersebelahan dengan Shazwan memandang lelaki itu dan memberitahu, dia masih ingat kata-kata Shazwan pada tarikh 20 Ogos lalu.

"Saudara Shazwan, hari itu awak 'Tweet' artikel itu kepada saya. Awak cakap iaitu, "Tolong buru dan kerat @Azfarovski sekali" dan ya, awak buat begitu (body shaming)," katanya.

Shazwan dikatakan pernah membuat ciapan mengenai perkara itu susulan sebuah berita tempatan menyiarkan remaja Albino diburu, dikerat untuk ritual sihir.

Tindakan Azfar berterus-terang secara langsung itu sekali gus membuatkan Shazwan terpaku seketika.

Acfar meneruskan kata-katanya bahawa perbuatan 'body shaming' berlaku tanpa disedari dan beranggapan pembuli siber tidak akan bertemu dengan mangsanya kelak.

Perkongsian video durasi 1 minit 23 saat meraih 476,700 tontonan itu pantas mencuri perhatian netizen yang menyifatkan tindakan Azfar itu sangat wajar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azfar menerusi status di Twitternya memberitahu apa yang dilakukannya itu bertujuan supaya pihak terlibat belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Pada hantaran yang sama, seorang pelayar Twitter berkata, "Secara peribadi, saya suka cara awak, kalau nak ikut sakit hati, mungkin lagi teruk masa 'live' tadi awak bagi tapi awak tenang.

“Bila dia (Shazwan) tak bagi respons sangat, awak terus berkata dan menyampaikan mesej," ciap @animrizki.

"Ini bukan dendam tapi ni contoh dari @Azfarovski dan contoh yang terbaik bila tuan badan (Shazwan) sendiri ada kat sebelah," ciap @AzwanSkylark pula.

Kata @tiulakitum, "Orang yang kita buli ini akan berhadapan dengan kita dalam kehidupan sebenar, macam inilah."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!