California diisytihar darurat
HEALDSBURG - Gabenor California, Gavin Newsom mengisytiharkan darurat di seluruh negeri susulan kebakaran besar yang memaksa puluhan ribu penduduk berpindah selain menjejaskan kuasa elektrik dan mengancam keselamatan di wilayah pelancongan Sonoma itu.
"Kami mengerahkan setiap sumber yang ada dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk memadamkan kebakaran ini.
"Penting untuk mereka yang berada di zon pemindahan supaya sentiasa memantau amaran daripada pihak berkuasa dan responden pertama serta mempunyai sumber tempatan dan negeri yang diperlukan dalam situasi genting ini," kata Newsom.
Menurut pihak berkuasa, kebakaran Kincade merebak sehingga 12,000 hektar dalam satu malam dengan hanya 10 peratus api berjaya dikawal sehingga petang semalam.
Kebakaran besar itu juga memusnahkan puluhan rumah dan ladang anggur termasuk ikon Kilang Wain Soda Rock yang dibina pada 1969.
Difahamkan, kebakaran yang bermula Rabu lalu merebak dengan cepat berikutan angin kencang yang bertiup pada kelajuan 145 kilometer sejam.
Dianggarkan seramai 180,000 orang berada di bawah perintah perpindahan mandatori termasuk di bahagian Santa Rosa, Sonoma County sehingga ke Lautan Pasifik. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!