Orang ramai mula pulang ke Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju ke ibu negara dilaporkan perlahan setakat 9.30 malam ini ekoran orang ramai mula pulang ke Kuala Lumpur selepas cuti panjang sempena perayaan Deepavali.
Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, aliran trafik perlahan susulan pertambahan jumlah kenderaan selain faktor cuaca hujan lebat yang melanda beberapa tempat.
Menurutnya, trafik perlahan di Gua Tempurung ke Tapah, Bidor ke Sungkai dan Lembah Beringin ke Rawang.
"Trafik juga perlahan dari Machap ke Kulai, Yong Peng ke Ayer Hitam dan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh ke Port Dickson," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik turut dilaporkan perlahan di Plaza Tol Karak ke Bukit Tinggi dan Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak.
Bagaimanapun katanya, aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 pula setakat ini masih lancar.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!