Pemikiran kritis di universiti penting bagi pembangunan negara
KOTA KINABALU - Penekanan terhadap kemahiran pemikiran kritis dalam kalangan pelajar universiti adalah elemen penting bagi pembangunan lestari dan pembangunan negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, yang juga Pengerusi Institut Pemikiran dan Tamadun Islam berkata, kemahiran pemikiran kritis adalah penting untuk melakukan perubahan bagi membantu meningkatkan kehidupan ekonomi masyarakat.
“Tanpa pemikiran kritis, anda tidak dapat menghasilkan rumusan secara menyeluruh.
"Di universiti, kita perlu belajar, menilai dan menyoal,” katanya semasa menyampaikan ceramah umum pada Seminar Antarabangsa Integrasi Ilmu di Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini.
Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, integrasi ilmu juga penting untuk memahami tentang keadilan, moral dan etika serta keseimbangan hubungan dalam komuniti.
“Masyarakat perlu berusaha mencapai kecemerlangan tetapi pada masa sama menjaga keharmonian, kerohanian dan material, pengetahuan dan tingkah laku,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!