Perintah darurat di Mesir dilanjutkan
KAHERAH - Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi melanjutkan perintah darurat di seluruh negara untuk kali kesembilan berturut-turut berikutan keadaan keselamatan di negara itu.
Ia akan dilanjutkan sekurang-kurangnya selama tiga bulan lagi.
Meskipun keputusan menambah tempoh darurat setiap tiga bulan sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan rakyat negara itu sejak 2017, namun sambungan kali ini dibuat ketika hubungan Mesir-Ethiopia terancam dek krisis Empangan Great Renaissance.
Undang-undang darurat secara signifikan meningkatkan kuasa agensi keselamatan untuk menahan dan memantau serta membolehkan sekatan ke atas kebebasan pergerakan di beberapa kawasan.
"Memandangkan keadaan keselamatan yang dialami negara dan selepas menerima pendapat daripada Majlis Menteri, Presiden memutuskan untuk melanjutkan perintah darurat di seluruh negara tiga bulan lagi bermula semalam.
"Angkatan bersenjata dan polis akan mengambil langkah yang perlu untuk memerangi bahaya dan keganasan, menjaga keselamatan di seluruh negara serta melindungi harta benda awam dan nyawa rakyat," menurut kenyataan rasmi pengumuman itu.
Sejak beberapa hari lalu, ketegangan antara Kaherah dan Addis Ababa meningkat susulan projek empangan di Nil Biru yang turut mendorong Amerika Syarikat (AS) untuk menawarkan perkhidmatannya sebagai orang tengah.
Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed menegaskan negaranya tidak akan berundur sehingga projek di kawasan itu siap dilakukan dan mengancam angkatan tenteranya akan merekrut jutaan orang untuk menghadapi sebarang serangan.
Pada masa sama, kerajaan Kaherah khuatir empangan tersebut akan mempunyai kesan negatif ke atas perairan Mesir dari Sungai Nil. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!