Ketua penyamun rupanya
MANILA - Seorang Datuk Bandar Filipina yang dibunuh penyerang tidak dikenali semasa dalam tahanan polis didakwa sebagai ketua kumpulan penjenayah yang aktif melakukan rompakan bersenjata di Mindanao.
Datuk Bandar Clarin, David Navarro dipercayai mengetuai Kumpulan Alferez yang berpangkalan di Ozamiz, sebuah pekan kecil di selatan Filipina.
Menurut maklumat risikan polis, Navarro adalah dalang utama di sebalik kes rompakan kedai emas dan premis pengurup wang di sebuah pusat beli-belah di bandar Mandaue pada 19 Oktober lalu.
“David Navarro dan Dante Navarro adalah individu yang sama. Dia mengeluarkan arahan kepada ahli kumpulannya untuk melakukan rompakan di bandar Mandaue bulan lalu,” kata sumber polis.
Navarro dibunuh pada Jumaat lalu semasa dibawa ke pejabat pendakwa raya di Cebu.
Pembunuhan itu berlaku sehari selepas Navarro ditahan kerana memukul seorang tukang urut.
Pada 14 Mac lalu, nama Navarro disenaraikan bersama 44 lagi pegawai kerajaan tempatan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang menuduh mereka terbabit dalam pengedaran dadah.
Pada 2016, Duterte menyenaraikan lebih 150 hakim, Datuk Bandar dan pegawai kerajaan lain sebagai terbabit dengan sindiket dadah.
Dua Datuk Bandar dalam senarai itu kemudiannya ditembak mati oleh polis pada 2016 dan 2017, manakala seorang lagi Datuk Bandar mati ditembak penembak curi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!