Bersih 2.0 kecewa dengan PH
SHAH ALAM - Bersih 2.0 kecewa apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini dilihat tidak memperjuangkan prinsip pilihan raya yang bersih dan bebas seperti diperjuangkan sebelum ini.
Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, kerajaan PH dilihat mula mengikuti langkah kerajaan terdahulu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai menerusi pemberian pelbagai peruntukan dan bantuan sebelum PRK bermula.
"Sebelum ini, PH ketika berstatus pembangkang memperjuangkan kempen pilihan raya yang bebas dan adil tetapi kini mereka pula yang dilihat cuba mengikuti perbuatan atau langkah sama," katanya.
Thomas berkata demikian bagi mengulas pemberian pelbagai peruntukan daripada kerajaan PH terutamanya setelah pengumuman tarikh untuk PRK Tanjung Piai.
Antaranya, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun telah mengumumkan pemasangan 264 lampu jalan kampung di kampung-kampung dalam Parlimen Tanjung Piai serta geran berjumlah RM230,000 untuk ketua-ketua kampung.
Selain itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq pula berjanji untuk memenuhi ‘permintaan Allahyarham Farid’ dengan mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf kemudahan sukan di Tanjung Piai.
Selain itu, Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub pula mengumumkan peruntukan RM3 juta bagi menaik taraf dan membina semula tiga jeti nelayan di Jeram Batu, Sungai Boh dan Pengkalan Penghulu dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai.
Sementara itu Thomas berkata, biarpun tidak ada undang-undang berhubung pemberian berkenaan, ia sedikit sebanyak telah mencalarkan prinsip pilihan raya yang adil dan bebas.
"Sekali lagi, kita mengharapkan agar ada undang-undang yang menyokong kita khususnya dari segi reformasi undang-undang pilihan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!