AS, China dan Israel dijajah

A
A
A

Guan Eng, Hadi, Waytha adalah nama yang berbeza, warna kulit berbeza, agama berbeza, status sosial berbeza. Tetapi mereka semua mempunyai satu persamaan iaitu semua ialah insan.

Isteri melihat Rama sebagai suami tetapi kalau cerai dan hilang status suami, dia tetap insan. Pelajar lihat Ah Chong sebagai menteri tetapi bila bersara, dia hilang status menteri tetapi tetap insan.

Kerana keinsanan adalah identiti kita yang kekal dan tidak berubah, mengapa tidak tanya apa itu keinsanan? Mengapa hanya kejar status-status sosial tetapi tidak berusaha faham makna insan?

Sophia, robot yang bijak berkomunikasi dengan manusia, telah diberi warganegara Saudi. Tetapi tiada satu kuasa di dunia yang layak memberi status insan kepada Sophia kerana warganegara adalah status sosial seperti status suami dan menteri yang direka oleh masyarakat.

Keinsanan bukan rekaan kuasa politik. Keinsanan adalah realiti yang turun dari langit. Realiti yang diberi oleh tuhan.

Kita ada banyak ceramah tentang makna suami yang baik tetapi mengapa ramai yang tidak peduli tentang makna insan. Mengapa tidak tanya apa makna aku sebagai insan?

Mungkin jawapannya mudah saja. Insan itu makan, minum, kahwin, belajar, kerja, enjoy, tidur, berkomunikasi dan bertumbuk. Tetapi Surah Al-'Asr mengajak kita berfikir lebih mendalam dengan persoalan: Apa kaitan ontologi insan dengan masa?

Filasuf berkata bahawa insan adalah haiwan natiq iaitu haiwan yang rasional yang mampu berkomunikasi tentang makna. Tetapi Surah Al-'Asr mentakrifkan keinsanan dengan masa.

Artikel Berkaitan:

Rasionaliti membina insan, tetapi masa membinasakan insan setiap saat. Masa umpama satu cacing luar biasa yang tidak boleh dimusnahkan dan kekal menetap dalam diri insan.

Ia memakan jiwa dan jasad insan setiap masa sedikit demi sedikit sehingga insan menjadi bangkai! Maka insan sebenarnya adalah haiwan rasional yang dijajah oleh masa. Insan adalah tertakluk kepada jajahan masa yang lebih teruk daripada kolonialisme dan kapitalisme.

Masa menjajah jiwa dan raga semua kolonialis dan kapitalis. Masa menjajah Israel, China dan Amerika Syarikat. Tiada kelas bawahan dan kelas super atasan yang berjaya membebaskan diri dari masa. Kita semua tidak merdeka dari masa.

Kita dalam penjajahan masa. Selagi kita dalam penjajahan masa, kita wujud dalam kerugian! Surah Al-'Asr mengingatkan kita bahawa setiap insan wujud di dalam kerugian. Perkataan 'di dalam' (fii) dalam surah ini bermakna bahawa kerugian mencengkam kita kanan, kiri, atas, bawah iaitu dari semua segi! Kita sudah terperangkap dalam penjajahan masa yang merugikan kita, yang memakan diri kita dan kuasa kita sedikit demi sedikit sehingga kita lenyap binasa.

Insan bukan sekadar haiwan rasional. Ia adalah haiwan masa. Ia tidak boleh bebas dari masa sebagaimana ia tidak boleh bebas daripada rasionaliti. Bahkan akal rasional sendiri dimakan masa sehingga menjadi nyanyuk dan hilang kuasa!

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin dekat. Konflik politik menjadi semakin hilang kewarasan ke tahap hilang maruah diri walaupun dibuat kongres maruah. Pada masa sama di Indonesia, Presiden Jokowi melantik 'musuh politiknya' menjadi Menteri Pertahanan.

Mereka tahu bahawa ahli politik perlu melangkaui taksub parti untuk bersatu menjadikan Indonesia sebuah superpower. Indonesia berpotensi besar bila ibu kota di pindahkan ke benua Kalimantan yang strategik, jantung Nusantara.

Tetapi tanpa menjiwai Surah Al-'Asr, tiada yang dapat mencapai kemerdekaan sejati daripada penjajahan masa dan cengkaman kerugian. Masa tunduk kepada Penciptanya.

Hanya dengan iman kepada Pencipta masa, insan benar-benar merdeka. Iman membuahkan perbuatan yang baik. Perbuatan yang baik adalah saling nasihat menasihati tentang kebenaran dan kesabaran kerana Maha Pencipta masa adalah Kebenaran.

Kesabaran akan membawa kita selangkah demi selangkah kepada kebenaran yang mengatasi masa. Walaupun Bilal Ibnu Rabah seorang hamba, tetapi masa tidak mampu menjajah jiwanya. Akhirnya masa menbinasakan semua yang berusaha mengekalkan kuasa tetapi Bilal kekal bebas daripada cengkaman masa, merdeka daripada perangkap kerugian.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!