Warga emas nyaris rentung

A
A
A

SEREMBAN - Seorang warga emas berusia 72 tahun terselamat, apabila rumah yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Baru Rasah, semalam.

Dalam kejadian jam 11.41 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Fong, berjaya menyelamatkan diri setelah menyedari salah satu bilik di rumahnya terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Operasi Seremban, Mohamad Idris berkata bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 11.52 pagi.

Katanya, sebaik sahaja sampai ke lokasi kejadian, keadaan api ketika itu sedang marak, menyebabkan rumah papan itu musnah dalam sekelip mata.

"Semasa kejadian ada penghuni dalam rumah itu, namun mereka sempat keluar menyelamatkan diri, dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

“Bomba mengambil masa selama 8 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan perumahan jiran tetangga dan api dikawal sepenuhnya 45 minit kemudian.

"Bagaimanapun hampir keseluruhan rumah itu musnah dalam kebakaran,” katanya.

Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota bergegas lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, kerajaan negeri akan memberi bantuan sepenuhnya termasuk penginapan kepada mangsa jika mereka memerlukan.

Katanya, pihaknya mempunyai penginapan sementara di Kampung Abuk Rahang, dan mereka boleh tinggal di situ sementara menunggu rumahnya dibaikpulih.

Hadir sama melawat mangsa, Adun Rahang, Mery Josephine dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!