128 mangsa banjir di Changlun dipindahkan

Anggota APM sedang menyukat paras air di kawasan terlibat malam tadi.
Anggota APM sedang menyukat paras air di kawasan terlibat malam tadi.
A
A
A

CHANGLUN - Seramai 128 mangsa banjir daripada 33 buah keluarga dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS) di Dewan Kampung Tradisi di sini setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, antara kampung terlibat ialah Kampung Padang Satu, Kampung Padong, Kampung Masjid Titi Kerbau, Kampung Lembah Keriang, Kampung Baru Changlun, Pekan Lama Changlun, Kampung Nang Mah dan Kampung Kubang Kayu.

Katanya, kesemua mangsa dipindahkan selepas air mulai naik hampir 1 meter akibat hujan turun berterusan dari jam 2.30 petang hingga 5 petang semalam.

"Pemantauan yang dilakukan pada jam 8 pagi tadi mendapati air di kawasan yang terlibat semakin surut.

"Bagaimanapun kemungkinan besar kawasan Kampung Masjid Titi Kerbau, Paya Nomi, Paya Lantau serta kawasan sekitar akan mengalami kenaikan air seterusnya di sebabkan air semakin turun ke kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu memberi rawatan awal kepada mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan.

"Selain itu maklumat mangsa juga telah direkodkan setelah mereka dipindahkan ke pusat pemindahan," katanya.

Kamalruzamal berkata, beberapa agensi turut menghulurkan bantuan bagi melancarkan operasi menyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat, anggota Rela, pejabat daerah dan Pejabat ADUN Bukit Kayu Hitam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!