Sivasangari tersingkir daripada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia

S Sivasangari
S Sivasangari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cabaran pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia 2019 berakhir apabila beliau tewas dalam perlawanan pusingan ketiga kejohanan itu yang berlangsung di Mesir hari ini.

Pemain ke-42 dunia itu mempamerkan aksi memberangsangkan menentang pilihan ke-14 Hania El Hammamy namun kalah 8-11, 12-10, 8-11 dan 9-11 kepada pemain muda dari Mesir itu dalam saingan kira-kira 53 minit, menurut laman sesawang Persatuan Skuasy Profesional (PSA) www.psaworldtour.com.

Hania, 19, dijadual bertemu pilihan ketiga, Camille Serme bagi penentuan tempat ke separuh akhir selepas pemain dari Perancis itu menyingkirkan rakan sepasukan Hania yang juga pilihan ke-15, Yathreb Adel, dengan 11-6, 11-2 dan 11-6 hanya dalam masa 28 minit dalam satu lagi perlawanan peringkat suku akhir.

Sebagai rekod, Sivasangari mengejutkan dua pemain utama iaitu pemain nombor lapan dunia Amanda Sobhy dari Amerika Syarikat dalam pusingan pertama dan pemain nombor 29 dunia, Milou van der Heijden dari Belanda dalam pusingan kedua. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!