Duit simpanan lebih RM17,000 lesap!
KUANTAN - Seorang tukang masak kerugian lebih RM17,000 selepas terpedaya dengan tawaran iklan pinjaman peribadi tidak wujud yang diiklankan melalui laman sosial Facebook.
Mangsa yang berusia 35 tahun dari daerah ini diminta membuat beberapa bayaran untuk wang proses sehingga mencecah RM17,800 sedangkan pinjaman dibuat hanya RM20,000.
Dalam kes itu, mangsa bukan sahaja tidak menerima wang yang dipinjamkan malah wang simpanan sendiri turut lesap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang memerlukan wang untuk tujuan peribadi tertarik dengan iklan pinjaman yang diiklankan sebuah akaun Facebook pada 1 Oktober lalu.
Menurutnya, mangsa meneruskan niatnya apabila menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan dengan seorang lelaki berhubung urusan proses permohonan pinjaman tersebut.
"Mangsa yang ingin membuat pinjaman sebanyak RM20,000 diminta menyerahkan beberapa dokumen termasuk salinan kad pengenalan, salinan lesen pendaftaran dan penyata akaun syarikat untuk semakan kelayakan.
"Selepas tiga jam dokumen tersebut diserahkan, mangsa menerima jawapan bahawa pinjaman yang dimohon sudah diluluskan," katanya.
Mohd Wazir berkata, suspek meminta mangsa membuat sejumlah bayaran proses sebelum wang pinjamannya dimasukkan ke dalam akaunnya.
"Dalam tempoh 18 hingga 24 Oktober lalu, mangsa telah membuat 11 transaksi bayaran dengan jumlah keseluruhan RM17,800 ke dua akaun bank atas nama seorang lelaki," katanya.
Beliau berkata, mangsa mula curiga apabila suspek meminta dia membuat bayaran tambahan sebanyak RM2,400.
"Mangsa syak telah ditipu apabila wang proses yang dibayar hampir jumlahnya dengan yang dipinjamkan.
"Mangsa mengambil keputusan untuk tidak membayar bayaran tambahan seperti yang diminta sebaliknya tampil membuat laporan polis semalam," katanya.
Menurutnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Polis turut mengesan dan akan menahan pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes ini bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!